PETALING JAYA – Permintaan seorang ibu mangsa nahas yang mahu anaknya diperiksa sekali lagi bagi memastikan dia benar-benar sudah meninggal dunia dalam kejadian itu meruntun hati orang ramai.
Perkara itu diceritakan oleh pengguna Threads dikenali sebagai Dean Musthafa yang berada di lokasi kemalangan maut melibatkan seorang pelajar, Muhammad Aiman Firdaus Mehedi di Cyberjaya malam tadi.
“Menjelang Magrib tadi, air mata saya tumpah dalam hujan renyai. Luluh hati dan pilu sungguh emosi saya melihat seorang ibu memangku jenazah anak remajanya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya tidak jauh dari rumah mereka di Cyberjaya 10.
“Sukar untuk saya terjemahkan kesedihan itu. Betulkah anak saya dah meninggal encik? Tolong check (periksa) sekali lagi. Ayat yang keluar dari wanita itu membuatkan saya bertambah pilu. Allahuakbar ibu mana yang bersedia untuk menerima berita pemergian anak,” katanya.
Dean Musthafa berkata, wanita itu turut dilihat sesekali mencium wajah arwah anaknya sambil menangis.
“Saya memahami bahawa itulah saat yg paling sukar buat seorang ibu melihat jasad anaknya yang dijemput oleh Allah SWT di malam Jumaat pada usia remaja. Dalam sekelip mata, ramai kenalan, jiran, guru-guru dan rakan-rakan sekolah arwah tiba di lokasi,” katanya.
Katanya kesedihan dan kepiluannya makin sukar disembunyikan apabila rakan-rakan arwah saling berpelukan dan menangis melihat sahabat mereka yang sudah meninggal diunia.
“Cikgu-cikgu sekolah juga tumpang berduka. Kepada Allah saya pinta semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan keluarganya diberi kekuatan. Al-Fatihah,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar sekolah swasta maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Jalan CV 4 Cyber Valley, Cyberjaya semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu dalam perjalanan dari sebuah sekolah antarabangsa menuju ke rumahnya pada 6.30 petang sebelum motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas permukaan jalan raya. – KOSMO! ONLINE
















