LISBON – Pemenang Ballon d’Or lima kali, Cristiano Ronaldo mengucapkan selamat tinggal kepada pentas antarabangsa apabila mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan Portugal.
Keputusan itu menamatkan cerita suka duka yang dicipta olehnya termasuk memimpin Portugal mencipta beberapa kejayaan di pentas antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh bintang berusia 41 tahun itu menerusi satu video di media sosial sambil menyifatkan sudah tiba masanya untuk menyerahkan kembali jersi ikonik nombor tujuh yang begitu sinonim dengannya.
Ronaldo mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah sebaliknya turut menyentuh perasaan selepas mengharungi perjalanan panjang bersama Portugal.
“Bukan keputusan mudah untuk dibuat kerana ada keputusan yang bukan hanya dibuat menggunakan akal, tetapi juga hati,” katanya.
Sepanjang 23 tahun menabur khidmatnya bersama Portugal, Ronaldo memimpin negara itu memenangi kejuaraan Euro 2016 serta dua kali menjuarai Liga Negara-Negara Eropah pada 2019 dan 2025.
Lebih menyentuh perasaan, Ronaldo turut menitipkan penghargaan kepada penyokong dan seluruh rakyat Portugal yang sentiasa berdiri di belakangnya sepanjang perjalanan karier antarabangsa.
“Jika saya pernah membuat anda gembira, jika salah satu gol saya pernah membuat anda memeluk seseorang, melupakan kebimbangan atau berasa bangga dengan negara kita, maka semuanya berbaloi,” katanya. – AGENSI















