BAGI Hakim (bukan nama sebenar), dia tidak pernah menyangka perkahwinannya bersama bekas isteri yang dibina atas dasar cinta akhirnya berakhir dengan pengkhianatan.
Selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, Hakim, 35, nekad memohon perceraian apabila mengetahui rahsia besar isterinya.
Pasangan dari Melaka itu dikurniakan seorang anak lelaki berusia setahun hasil perkahwinan yang disangka sempurna.
Segalanya berubah apabila Nadia (bukan nama sebenar) semakin menjauhkan diri, malah sering memberikan alasan setiap kali suaminya mahu bersama.
Hakim pada mulanya menganggap isterinya keletihan menguruskan anak, namun perubahan sikap tersebut semakin menimbulkan tanda tanya.
“Dia sudah tidak menunjukkan minat terhadap saya sebagai suami seperti awal pernikahan. Setiap kali saya cuba mendekati, pasti ada sahaja alasan diberikan,” katanya kepada K-Wanita.
Kecurigaan pegawai bank itu bertambah apabila Nadia semakin kerap menghabiskan masa bersama sahabat baiknya sendiri.
Lebih mengejutkan, Hakim akhirnya terserempak dengan kedua-duanya melakukan hubungan intim ketika pulang ke rumah lebih awal.
“Saya tidak sangka perkara sebegitu berlaku dalam rumah sendiri.
“Kawan baik dia yang saya kenal itu pula orang yang selama ini saya percayai,” katanya kesal.
Apabila didesak memberikan penjelasan, Nadia akhirnya mengakui mempunyai hubungan sulit dengan rakan baiknya itu sejak beberapa tahun lalu.
Malah, wanita itu mengakui perasaannya terhadap lelaki sudah berubah dan tidak lagi mempunyai keinginan intim terhadap suaminya.
Nadia turut memberitahu bahawa keputusan berkahwin dahulu dibuat kerana desakan keluarga yang mengharapkan anak tunggal perempuan itu mendirikan rumah tangga.
“Dia mengaku berkahwin kerana mahu memenuhi harapan keluarga.
“Saya pula selama ini menyangka dia benar-benar mencintai saya dan mahu sama-sama bina ikatan bahagia,” katanya.
Hakim mengakui pengakuan tersebut sebagai tamparan hebat kerana merasakan seluruh perkahwinan mereka dibina atas kepuraan dan sandiwara.
Baginya, isterinya seolah-olah memainkan watak sebagai pasangan bahagia sedangkan menyimpan perasaan dan hubungan sebenar di belakangnya.
Lebih menyedihkan, anak mereka yang masih kecil turut terpaksa berdepan kehilangan keutuhan keluarga akibat konflik tersebut.
“Saya tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
“Anak saya tidak bersalah dan tidak sepatutnya menanggung akibat perbuatan kami,” katanya sayu.
Selepas beberapa kali berbincang tanpa menemui jalan penyelesaian, Hakim akhirnya mengambil keputusan memohon perceraian di mahkamah.
Dia mengakui sudah tidak mampu meneruskan kehidupan bersama seseorang yang tidak lagi jujur mengenai perasaan dan komitmen perkahwinan.
Bagi Hakim, perkahwinan bukan sekadar memenuhi kehendak keluarga, sebaliknya menuntut kejujuran, kesetiaan dan keikhlasan sesama pihak.
















