fbpx
SKUAD takraw negara menerima imbuhan Shakam selepas kejayaan membawa pulang pingat emas acara berpasukan di Sukan Asia lalu.

PSM harap KBS kaji semula SHAKAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyarankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengkaji semula Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), khususnya kadar insentif bagi atlet yang beraksi dalam acara berpasukan.

Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, semakan itu perlu dilakukan bagi merapatkan jurang imbuhan antara atlet acara individu yang menerima RM80,000 bagi pingat emas Sukan Asia berbanding RM15,000 untuk setiap pemain dalam acara berpasukan.

Katanya, luahan tekong utama negara, Syahir Rosdi yang terkilan dengan jumlah insentif diterima selepas membantu Malaysia meraih emas regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu diberi perhatian serius.

Beliau berpendapat, KBS dan MSN wajar melakukan penelitian menyeluruh supaya semangat atlet negara, khususnya dalam acara berpasukan lebih adil serta seimbang memandangkan Sukan Asia hanya berlangsung empat tahun sekali.

“Pandangan saya, KBS dan MSN harus mengkaji semula insentif SHAKAM ini, terutamanya bagi acara berpasukan atau sukan yang melibatkan lebih lima pemain. Kita faham jumlah atlet dalam acara berpasukan lebih ramai dan kita bukan menuntut jumlah yang sama seperti acara individu.

“Tetapi sekurang-kurangnya kadar itu boleh disemak dan dinaikkan supaya lebih adil serta setimpal dengan pengorbanan mereka di pentas tertinggi di Sukan Asia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sumali berkata, perjuangan atlet dalam acara berpasukan juga sangat hebat kerana mereka turut mencurahkan masa, tenaga dan komitmen yang tinggi untuk membawa pulang pingat buat negara.

“Perjuangan mereka tetap sama. Mereka bukan beraksi selama 10 atau 15 minit, sebaliknya berjam-jam. Dalam sepak takraw, jika perlawanan regu berlanjutan ke set ketiga, pemain boleh berjuang sehingga hampir dua jam.

“Jadi, pengorbanan masa dan tenaga seperti ini juga perlu diambil kira. Untuk memenangi pingat emas Sukan Asia bukan perkara mudah dan usaha atlet berpasukan juga wajar dihargai,” katanya.

Terdahulu, skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas regu berpasukan Sukan Asia selepas menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final di Nagoya, sekali gus mengulangi pencapaian pada Sukan Asia Beijing 1990.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN