fbpx
KEADAAN banjir termenung yang masih menenggelamkan sehingga separuh tiang lampu isyarat di laluan Taman Kesedar Putra menghala ke Taman Kesedar Jaya di Gua Musang semalam. – AIMUNI TUAN LAH

‘Sekali banjir, empat hari tak boleh lalu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Penduduk dan pengguna jalan raya yang sering melalui jalan Taman Kesedar Putra menghala ke Taman Kesedar Jaya, di sini, hidup dalam keadaan tertekan apabila se­ring berdepan banjir termenung setiap kali hujan lebat melanda kawasan itu.

Banjir termenung akibat hujan lebat berterusan yang berlaku kelmarin dipercayai berpunca daripada aliran air yang tersekat berikutan kerosakan sistem perparitan susulan kejadian lubang benam di kawasan berhampiran sebelum ini.

Seorang pengguna jalan, Ahmad Tarmizi Dollah Ahmad, 60, berkata, banjir termenung itu sudah berulang sebanyak tiga kali sejak hampir sebulan lalu dan mengambil masa di antara lima hingga lebih 10 hari untuk surut sekiranya tiada kerja mengepam air dilakukan.

Katanya, hujan lebat selama dua hingga tiga jam telah menyebabkan air bertakung kerana tiada aliran keluar melalui longkang yang rosak di kawasan ber­kenaan.

“Akibat masalah berulang ini, saya yang tinggal di Taman Damar mengambil keputusan berpindah ke Kampung Lembaga kerana tidak sanggup lagi berulang-alik menggunakan laluan jauh.

“Laluan itu biasanya tidak boleh dilalui selama tiga hingga empat hari atau lebih setiap kali banjir berlaku kecuali kenderaan pacuan empat roda dan lori,” katanya.

PENDUDUK tertekan apabila laluan Taman Kesedar Putra menghala ke Taman Kesedar Jaya kerap dinaiki air susulan hujan lebat kelmarin. – AIMUNI TUAN LAH

Seorang lagi pengguna jalan, Suhaimey Salleh, 56, berkata, keadaan itu menyukarkan urusan harian penduduk terutama pada waktu pagi dan petang ketika menghantar anak ke sekolah serta keluar bekerja.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan penduduk terjejas tidak sempat menyelamatkan dan mengambil barangan dari rumah masing-masing.

“Laluan ini merupakan jalan utama dan apabila berlaku ke­adaan seperti ini pergerakan pen­duduk terbantut kerana ter­paksa menggunakan laluan le­bih jauh.

“Selain terpaksa menempuh perjalanan lebih jauh, masa dan kos minyak juga terbuang akibat kesesakan jalan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, laluan Taman Kesedar Jaya-Taman Kesedar Putra dibuka semula pada 1 November lalu selepas kerja mengepam air dilakukan selama empat hari berturut-turut, namun kembali ditenggelami air semalam.

Katanya, penggunaan pam air dengan bantuan Jabatan Pe­ngai­ran dan Saliran itu merupakan langkah sementara bagi me­nanga­ni masalah banjir termenung yang berulang sejak hujan lebat pada 9 Oktober lalu

“Pihak Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama sedang mencari kaedah lebih berkesan bagi mengalirkan air bertakung di kawasan lubang benam yang menjadi punca masalah berkenaan.

“Sepanjang kejadian itu, saya menerima aduan daripada penduduk terjejas berikutan gangguan yang berlarutan sehingga memaksa mereka menggunakan laluan alternatif untuk urusan harian,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN