KUALA LUMPUR – Sebuah Perodua Axia berwarna oren berjaya melepaskan diri daripada dikejar kereta peronda polis dalam kejadian di Jalan Usahawan 6, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Anas Sulaiman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika anggota kereta peronda dari Balai Polis Setapak sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.
Menurutnya, anggota polis mengesan sebuah Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan dengan enjin masih hidup sebelum cuba menjalankan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan hendak dijalankan, pemandu kenderaan tersebut telah melarikan diri dan berlaku aksi kejar-mengejar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, aksi kejar-mengejar itu melalui kawasan PPR Air Panas, Jalan Santuari Utama, Jalan Ayer Keroh sebelum berakhir di Jalan Tun Razak.
“Walau bagaimanapun, kenderaan berkenaan akhirnya berjaya melepaskan diri daripada pihak polis,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Wangsa Maju (03-9289 9222) atau Balai Polis Setapak (03-4023 2222). – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















