PETALING JAYA – Bekas isteri kepada Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dilaporkan meninggal dunia.
Berita pemergian Allahyarham Tengku Puteri Zainah, 70, itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Najib hari ini.
Menurut hantaran tersebut, Allahyarham pernah menjadi sebahagian individu penting dalam perjalanan hidup Najib selain merupakan ibu kepada anak-anaknya.
“Dengan penuh rasa dukacita, kami ingin menyampaikan berita pemergian Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, bekas isteri kepada Datuk Seri Najib Razak yang telah kembali ke rahmatullah.
“Allahyarhamah pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup Datuk Seri Najib dan merupakan ibu kepada anak-anak mereka,” menurut hantaran itu.
Hantaran berkenaan turut memaklumkan Najib tidak dapat bersama keluarga pada saat yang menyedihkan berikutan keadaan beliau ketika ini.
Bagaimanapun, ingatan dan doa Perdana Menteri Keenam itu sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Walaupun Datuk Seri Najib kini berada dalam keadaan yang tidak memungkinkan beliau bersama keluarga pada saat yang menyedihkan ini, ingatan dan doa beliau sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.
“Kami mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal ibadah, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Hantaran itu turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Tengku Puteri Zainah merupakan isteri pertama Najib sebelum pasangan itu berpisah.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Nizar, Nazifuddin dan Puteri Norlisa. Najib kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Rosmah Mansor pada 1987.– KOSMO! ONLINE
















