IPOH – Seorang penyelia syarikat di Teluk Intan kerugian RM143,599.90 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan saham palsu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima satu laporan berhubung kes penipuan pelaburan saham tidak wujud membabitkan lelaki tersebut semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dipaparkan di media sosial sebelum dihubungi individu yang menyamar sebagai ejen pelaburan.
“Mangsa seterusnya diperdaya untuk membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Alwi berkata, mangsa turut diarahkan memuat turun sebuah aplikasi pelaburan yang memaparkan keuntungan lumayan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila gagal mengeluarkan wang modal serta keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti individu yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















