fbpx
MOHD Asri menunjukkan gambar serbuk putih etomidate yang dirampas selain pelbagai jenis rokok dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di Kuantan hari ini.

Kastam rampas 5.13 kg serbuk disyaki etomidate

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup masuk 5.13 kilogram serbuk putih dipercayai etomidate yang dianggarkan bernilai RM769,500 dalam satu serbuan di sebuah pusat kurier di Shah Alam, Selangor pada awal September lalu.

Etomidate lazimnya digunakan dalam bidang perubatan sebagai ubat bius, selain boleh diproses menjadi bahan cecair untuk digunakan dalam peranti rokok elektronik atau vape.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.05 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan yang mengesan penghantaran mencurigakan hasil risikan serta maklumat orang awam.

“Pemeriksaan terhadap satu bungkusan membawa kepada penemuan satu paket lutsinar yang mengandungi serbuk putih seberat 5.13 kilogram namun diikrar sebagai asid.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahan berkenaan dipercayai etomidate yang dihantar dari India dengan melalui China sebagai negara transit sebelum memasuki Malaysia,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini hari ini.

Menurutnya pengimportan bahan tersebut tertakluk kepada syarat tertentu di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, termasuk pemeriksaan dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta keperluan lesen mengikut Akta Racun 1952.

Katanya, pengimportan bahan berkenaan tanpa memenuhi syarat ditetapkan merupakan satu kesalahan, justeru pihaknya menyita keseluruhan bungkusan itu untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, pada masa ini pihaknya masih menunggu keputusan analisis kimia bagi mengesahkan kandungan sebenar serbuk yang dirampas sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahan itu mempunyai kaitan dengan penghasilan cecair vape dikenali sebagai ‘mushroom’ atau ‘piu-piu’ yang dipercayai digunakan dalam kalangan remaja, namun perkara tersebut masih belum dapat dipastikan tanpa pengesahan makmal.

Sementara itu Mohd Asri berkata, dalam perkembangan berasingan, JKDM Pahang turut melaksanakan operasi di Sungai Jawi, Pulau Pinang yang membawa kepada rampasan 400,000 batang rokok putih dipercayai diseludup dari Vietnam serta 6,504 tin minuman keras pelbagai jenama dari Indonesia.

Katanya, rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM32,000 dengan jumlah duti dan cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM276,000, manakala minuman keras bernilai RM22,342.32 itu membabitkan anggaran duti dan cukai melebihi RM95,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN