PARIS – Bank Perancis, Credit Mutuel Arkea menyatakan semalam bahawa pihaknya menjadi mangsa serangan siber yang membolehkan transaksi penipuan berjumlah kira-kira €100 juta (RM457 juta).
Menurutnya dalam satu kenyataan, serangan yang berjaya dikekang itu menyaksikan penggodam mendapat akses ke dalam akaun Arkea untuk membuat pemindahan wang ke bank lain. Ia tidak melibatkan akaun pelanggan tanpa sebarang kerugian dialami mereka.
Arkea memberitahu, dana dicuri itu ditukarkan kepada mata wang kripto di platform khusus, tetapi menambah, sebahagian daripadanya telah disekat dan usaha lain sedang dijalankan untuk mendapatkan semula wang tersebut.
Arkea mendapati pemindahan itu bukan disebabkan oleh kesilapan manusia dan ‘merupakan serangan canggih oleh pihak luar’.
Institusi itu tidak memberikan butiran tentang bagaimana serangan itu dilakukan atau dalang sebaliknya.
Dalam satu kenyataan kepada AFP, pejabat pendakwa raya Paris berkata, pihaknya telah membuka siasatan rasmi.
“Siasatan ini melibatkan serangan siber ke atas sistem pemprosesan data automatik oleh kumpulan terancang”, katanya.
Bank itu tidak mengesahkan angka €100 juta yang dilaporkan oleh akhbar Le Telegramme, tetapi mengesahkan skala kerugian tersebut.
“Jumlah dana yang terlibat dalam serangan ini yang masih dalam penilaian tu dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan serta kekukuhan kumpulan,” tambahnya. – AFP
















