KEMAMAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menyerbu tiga premis menjual produk vape yang disyaki beroperasi secara haram di sekitar daerah ini semalam.
Dalam serbuan antara pukul 4.05 petang hingga 8.30 malam di tiga premis perniagaan berasingan tersebut, produk vape iaitu cecair, peranti dan aksesori bernilai keseluruhan RM239,990 telah berjaya dirampas.
Ketiga-tiga peniaga terlibat turut dikompaun RM1,000 setiap seorang oleh pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang turut menyertai Op Taring Alpha 3 berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis jualan produk vape berjenama terkenal di Jalan Sulaimani, Chukai di sini pada pukul 4.05 petang.
“Berdasarkan soal siasat awal dengan seorang pekerja wanita berusia 22 tahun, premis yang beroperasi sejak lebih dua tahun tersebut menerima bekalan stok produk vape daripada ibu pejabat syarikat berjenama terkenal tersebut secara mingguan.
“Biarpun pernah beberapa kali dikenakan tindakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan, jualan premis tersebut tetap menjangkau RM5,000 sehari,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu telah mengharamkan penjualan produk vape berkuatkuasa 1 Ogos 2025.
Ahmad Radzi berkata, serbuan kedua dan ketiga pula dilakukan di premis di Kampung Gelugor, Kerteh, dan di Kampung Bakau Tinggi, di sini pada pukul 4.30 petang dan 8.30 malam. – KOSMO! ONLINE
















