fbpx
GAMBAR fail September 2025 menunjukkan sebuah kapal Tentera Laut Korea Selatan belayar di luar bandar pelabuhan Busan. – AFP

Korea Selatan akan hantar tentera hampiri Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEOUL  – Kementerian Pertahanan Korea Selatan akan mengerahkan pesawat rondaan maritim dan pasukan pelupusan bahan letupan ke perairan berhampiran Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada misi membantu memastikan laluan air itu kekal terbuka.

Pengumuman  dibuat ketika Seoul mengekalkan pendirian untuk tidak mengerahkan tentera bagi campur tangan ketenteraan dalam perang Iran, sambil berusaha melindungi perkapalan komersial di laluan maritim antara paling penting di dunia itu.

Perang Amerika Syarikat(AS) -Iran yang bermula  28 Februari lalu  telah mengganggu pergerakan kapal dagang di  Selat Hormuz, laluan penting untuk bekalan tenaga global dan mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

“Kerajaan merancang untuk meluaskan kawasan operasi unit tentera laut anti lanun Cheonghae yang melindungi kapal komersial di Teluk Aden berhampiran Somalia hingga  ke perairan berdekatan Selat Hormuz,” kata  seorang jurucakap kementerian pertahanan hari ini.

Kerahan   terdiri daripada sebuah kapal pemusnah, pesawat rondaan maritim P-8, pasukan pelupusan bahan letupan (EOD), kapal permukaan tanpa pemandu, kenderaan dalam air tanpa pemandu dan kenderaan kendalian jauh (ROV) untuk penerokaan dasar laut, lapor agensi berita Yonhap.

Perluasan operasi itu bagaimanapun  khusus untuk tujuan bukan tempur dengan tentera Korea Selatan akan beroperasi secara bebas daripada pasukan bersekutu Barat.

“Operasi ini akan kekal terhad di perairan terbuka di selatan Oman, dan pesawat rondaan maritim dilarang daripada menyeberangi atau memantau wilayah Iran, perairan wilayah atau bahagian dalam Selat Hormuz,” kata jurucakap sama.

Iran  telah memberi amaran kepada  Korea Selatan  terhadap sebarang penempatan sedemikian selepas Seoul mengesahkan mempertimbangkan sumbangan kepada keselamatannya di Selat Hormuz. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN