PETALING JAYA – Sokongan pembiayaan lebih kukuh daripada institusi perbankan tempatan penting bagi menjamin kemampanan sektor petroleum negara, khususnya dalam membantu pemain industri maritim mengembangkan kapasiti operasi dan merebut peluang ekonomi.
Pakar industri maritim, R. Jeyenderan berkata, kekangan mendapatkan pembiayaan bank ketika ini menyebabkan pemain industri sukar membuat pelaburan dalam aset penting, termasuk pembelian kapal bagi menjalankan aktiviti pembekalan bahan api marin (bunkering).
Menurutnya, ramai pelabur berminat menceburi sektor berkenaan, namun berdepan kesukaran apabila institusi kewangan tempatan menganggap perniagaan itu sebagai berisiko tinggi.
Katanya, sokongan pembiayaan domestik bukan sahaja membolehkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan, malah memastikan lebih banyak aktiviti ekonomi dan manfaat industri kekal dalam negara.
“Pelabur dari Singapura lazimnya mendapatkan pembiayaan melalui institusi perbankan negara itu dan bukannya bank tempatan, sekali gus mengehadkan limpahan ekonomi kepada Malaysia.
“Mereka langsung tidak menggunakan khidmat bank kita. Ini memberikan kesan yang amat buruk dan kita tidak boleh menjalankan kegiatan amal di perairan sendiri. Perairan kita sangat indah dan mempunyai aliran trafik kapal yang baik.
“Akibatnya, kita kehilangan banyak sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerana suatu ketika dahulu, jumlah pembekalan kita mencecah kira-kira 600,000 tan sehingga 2013, tetapi kini menurun kepada 200,000 tan,” katanya dalam kenyataan.
Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd. berkata, selain pembiayaan, penyelarasan dasar dan prosedur operasi antara agensi kerajaan juga perlu diperkemas bagi meningkatkan kecekapan sektor petroleum dan perkapalan.
Katanya, pemain industri memerlukan garis panduan lebih jelas berkaitan dokumentasi kastam, khususnya urusan import, eksport serta proses berkaitan perkapalan.-KOSMO! ONLINE
















