fbpx
Pokok durian di kebun milik Zamri masih belum berbunga seperti kebiasaannya yang didakwa disebabkan oleh jerebu.

‘Sepatutnya pokok durian sekarang sudah berbunga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Pekebun durian terpaksa ‘berehat’ sehingga ke pertengahan tahun depan apabila pokok yang sepatutnya luruh antara Januari dan Februari langsung tidak berbunga ketika ini berkemungkinan akibat keadaan jerebu yang melanda negara.

Keadaan itu bakal mengakibatkan pekebun durian terutamanya musang king hilang pendapatan bagi satu musim sekali gus menjejaskan industri.

Pemilik Zamri Agro Farm, Zamri Othman berkata, keadaan luar biasa berlaku apabila 500 batang pokok musang king di kebunnya masih belum mengeluarkan bunga ketika ini.

Katanya, situasi itu meranapkan harapannya untuk melihat pokok durian berbunga sebanyak dua kali pada tahun ini.

“Petua orang dulu-dulu di Pahang kalau ada pokok bacang berbunga, durian akan menjadi dan ini memang berlaku. Kali ini biarpun bacang berbunga lebat, namun durian tidak ada bunga.

“Jadi sekarang ini sudahlah jerebu kuat, diselang seli pula dengan hujan, buah tak berapa jadi. Sungai Ruan, Sungai Klau pun kurang tak macam biasa,” katanya di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan kebakaran hutan yang me­ngakibatkan negara diselubu­ngi jerebu secara berterusan dikhuatiri menjejaskan industri pengeluaran durian ekoran asap tanah gambut yang memenuhi ruang udara mengandungi pelbagai sebatian negatif.

Antara sebatian yang terhasil termasuk campuran abu kasar, jelaga, zarah halus, karbon monoksida, oksida nitrogen, sebatian sulfur dan sebatian organik meruap.

Menurut Zamri, keadaan cuaca yang tidak berangin juga dilihat menyebabkan proses pembia­kan dan pendebungaan durian kurang efektif dan menjejaskan hasil.

Tambahnya, jerebu tebal menyebabkan pancaran matahari yang diperlukan durian untuk berbunga terjejas malah kan­dungan ‘racun’ dalam jerebu turut menjejaskan bunga yang keluar.

“Biasanya ketika ini buah durian sudah berputik sebesar ibu jari kaki sebelum luruh sekitar Januari dan Februari,” katanya.

Ujar Zamri, berdasarkan kea­daan semasa, pokok dijangka berbunga pada Februari atau Mac dan luruh sekitar Jun.

Ahmad Mustapha, 47, pula berkata, pokok durian termasuk musang king dan damak king di Jerantut juga masih belum berbunga.

Katanya, hanya ada sedikit sahaja pokok yang mengeluarkan bunga dan dia juga tidak pasti sama ada ia akan bertahan dan dapat menghasilkan buah berkualiti.

“Saya tidak pasti sebab apa tetapi berharap ia akan berakhir dan tidak memberi kesan kepada buah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN