IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima 25 aduan berkaitan pencemaran petrol RON95 yang dipercayai melibatkan campuran air dalam tangki simpanan bahan api berkenaan, sepanjang Oktober lepas.
Pengarah KPDN Negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua aduan diterima membabitkan lima daerah iaitu Kinta, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar dan Manjung.
Beliau berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berdasarkan aduan orang ramai dengan mengambil sampel petrol RON95 sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis dan pengesahan.
“Setakat ini kita masih belum menerima keputusan daripada Jabatan Kimia dan akan menunggu hasil analisis berkenaan sebelum menentukan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan kira-kira 1,200 peserta larian Pink 5KM and Purple Fun Run 2026 anjuran Perak Community Specialist Hospital, di sini, hari ini.
Beliau berkata, aduan yang diterima setakat ini hanya melibatkan petrol RON95 dan tidak membabitkan diesel atau RON97.
Dalam pada itu, Kamalludin menasihati pengguna yang terjejas supaya menyimpan dokumen berkaitan serta bukti bagi membolehkan mereka mengemukakan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia atau melalui Mahkamah Sivil.
Tular beberapa hantaran di media sosial sejak kebelakangan ini apabila pengguna mendakwa bahan api jenis petrol RON95 yang disyaki bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan. – Bernama
















