fbpx
Kedudukan Jun Hao dalam skuad kebangsaan belum terjamin ekoran aksi tidak menentu dipamerkan musim ini. - AFP

Perseorangan lelaki berwajah baharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH arena badminton negara bakal menyaksikan pembaharuan dari segi senarai pemain, terutamanya dalam skuad perseorangan lelaki apabila ada amaran mula dilaungkan kepada pemain-pemain sedia ada.

Walaupun tidak disebut siapa bakal digugurkan, mesej itu jelas di mana ada pemain senior akan ditunjuk jalan keluar dari skuad kebangsaan, sekali gus membawa perubahan kepada pasukan.

Hakikatnya, tempat dalam skuad kebangsaan bukan hak mutlak mana-mana pemain, sebaliknya perlu dipertahankan menerusi prestasi, komitmen serta kemampuan bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.

Dalam badminton era moden, reputasi serta pengalaman tidak lagi cukup untuk memberi jaminan kepada masa depan seseorang pemain kerana apa yang dititikberatkan adalah kemampuan menghasilkan keputusan positif.

Apa sedang berlaku ketika ini mencerminkan cabaran lebih besar dihadapi badminton negara kerana Malaysia memiliki ramai pemain berbakat, namun belum dapat menterjemahkan potensi tersebut.

Justeru, amaran dilaungkan berhubung kemungkinan pengguguran pemain senior perlu dilihat dari sudut lebih luas dan bukan sekadar ancaman kepada beberapa individu tertentu sahaja.

Ia gambaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu lagi sekadar mengekalkan pemain atas dasar senioriti, sebaliknya mengisi skuad dengan barisan pemain boleh menyumbang kepada misi negara.

Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei yang berkata, penstrukturan struktur kejurulatihan dan pemain bakal dibuat menjelang akhir tahun ini.

Dalam sukan berprestasi tinggi, perubahan merupakan sesuatu tidak dapat dielak memandangkan keputusan sukar kadangkala paling diperlukan untuk terus mengorak langkah ke hadapan.

“Kita tidak boleh asyik menyimpan pemain sahaja tanpa melakukan pengguguran. Kita perlu menyusun semula senarai pemain dan melakukan sedikit penstrukturan. Jurulatih akan membuat penilaian dan menghantar senarai kepada saya untuk dibincangkan,” kata Chong Wei.

Bagi penulis, rombakan dan penstrukturan pasukan merupakan sesuatu yang amat diperlukan kerana negara-negara kuasa besar badminton dunia juga tidak teragak-agak untuk mengambil keputusan sama seandainya terus dibelenggu aksi tidak menentu.

Sektor perseorangan lelaki pastinya menjadi tumpuan menjelang Disember ini berdasarkan aksi longlai dipamerkan dua pemain utama, Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang gagal menunjukkan impak di pentas antarabangsa.

Jun Hao bekas juara remaja Asia gagal melepasi pusingan awal dalam kesemua 12 kejohanan Jelajah Dunia disertainya musim ini, sama ada tersingkir pada pusingan pertama atau kedua.

Situasi itu menimbulkan rasa kurang senang pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen yang menjelaskan, beliau sentiasa mengambil berat tentang prestasi anak-anak buahnya.

Kesimpulannya, rombakan skuad nanti bukanlah sesuatu yang perlu dilihat secara negatif kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada persaingan sihat dalam kalangan pemain bagi memperbaiki prestasi masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN