KUALA TERENGGANU – Gara-gara membenarkan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis kawalannya pada bulan lalu, sebuah resort terkenal di Batu Rakit, Kuala Nerus didenda RM54,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri memerintahkan hukuman demikian selepas wakil Bidong View Resort Sdn. Bhd. membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap PATI terlibat iaitu RM54,000 secara keseluruhan.
Berdasarkan pertuduhan, pengurusan resort terbabit didakwa membenarkan sembilan PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja sah menetap di sebuah rumah pekerja Bidong View Resort, Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, Kuala Nerus, di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pengurusan Bidong View Resort pada pukul 11.30 malam, 12 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, serbuab sepasukan 19 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu mendapati sembilan warga asing yang berada di rumah pekerja resort tersebut tidak mempunyai dokumen sah untuk menetap di negara ini.
Bidong View Resort didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkkan denda antara
RM5,000 dan RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI ditemukan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
















