fbpx
Tiga pesalah lumba haram yang didenda RM2,300 setiap seorang di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Tiga pesalah lumba haram didenda RM6,900

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiga individu didenda RM6,900 selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret Jalan Duta, di sini semalam.

Ketiga-tiga tertuduh masing-masing dikenakan denda RM2,300 atau penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam berkata, sabitan itu susulan tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan pada 25 hingga 26 Oktober lalu bagi membanteras aktiviti menduga kelajuan dan lumba haram di sekitar ibu negara.

Beliau berkata, tiga lagi Orang Kena Saman (OKS) gagal hadir ke mahkamah seperti yang ditetapkan, manakala tindakan senarai hitam turut dikenakan terhadap individu terbabit mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Jalan raya bukan litar perlumbaan. Keghairahan mengejar kelajuan tidak boleh dijadikan alasan untuk mempertaruhkan nyawa sendiri dan keselamatan orang lain.

“JPJ WPKL memandang serius perbuatan menjadikan jalan raya awam sebagai gelanggang perlumbaan atau tempat menguji kelajuan kenderaan kerana boleh mengakibatkan kemalangan serius, kehilangan nyawa serta membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan akan dipertingkatkan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti lumba haram, menduga kelajuan dan pemanduan berbahaya.

Katanya, JPJ WPKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai turut diseru supaya mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta tidak terbabit dalam sebarang aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan di jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN