GUA MUSANG – Sebanyak 210 karton rokok seludup bernilai RM1.8 juta dan 208 mesin melombong mata wang kripto dilupuskan selepas selesai melalui proses perundangan dan perintah mahkamah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, alatan yang digunakan untuk kegiatan melombong bitcoin itu dilakukan dalam operasi bermula 2021 hingga 2023.
Katanya, mesin melombong bitcoin akan diserahkan kepada pihak pengurusan e-waste (sisa barangan elektrik dan elektronik), manakala rokok yang dirampas akan ditanam di pusat pelupusan sampah Majlis Daerah Gua Musang.
“Rampasan mesin bitcoin itu dilakukan hasil kerjasama polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mesin tersebut dirampas di beberapa lokasi termasuk bangunan tidak berpenghuni di kawasan perumahan yang dipercayai digunakan sindiket sebagai pusat perlombongan bitcoin.
“Polis akan terus bekerjasama dengan TNB bagi mengesan kegiatan haram itu yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada syarikat utiliti, malah negara disebabkan penggunaan elektrik secara tidak sah,” katanya selepas majlis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.
Choon Foo berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1963. – KOSMO! ONLINE
















