fbpx
Penyedut minuman merupakan produk sekali guna yang boleh mencemarkan alam sekitar. – Gambar hiasan

Straw kertas lebih bahaya daripada plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERALIHAN daripada penggunaan penyedut air plastik kepada kertas dianggap sebagai tindakan bijak dan mesra alam.

Ia juga sebahagian daripada usaha mengurangkan kebergantungan terhadap produk plastik sekali guna yang berpotensi mencemari alam sekitar.

Bagaimanapun, dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh kerajaan Korea Selatan mendapati bahawa penyedut kertas berpotensi menghasilkan kesan terhadap alam sekitar lebih tinggi berbanding penyedut plastik.

Laporan itu menilai implikasi penggunaan empat jenis penyedut minuman iaitu plastik biasa, kertas, plastik boleh urai secara biologi dan polietilena berasaskan sumber biologi (bio-PE) terhadap 16 kategori kesan alam sekitar.

Penilaian berkenaan mengambil kira keseluruhan kitaran hayat produk, bermula daripada penghasilan bahan mentah, proses pengeluaran dan pengangkutan sehinggalah kepada pengurusan serta pelupusan sisa.

Memetik laporan The Straits Times, penyedut kertas mencatatkan kesan karsinogenik terhadap manusia 6.33 kali ganda lebih tinggi berbanding sedutan plastik konvensional, manakala kesan pengasidan pula 2.04 kali ganda lebih tinggi.

Sedutan bio-PE yang sering digambarkan sebagai alternatif kerana dibuat berasaskan sumber tumbuhan seperti tebu pula mencatatkan kesan karsinogenik sehingga 16.18 kali ganda dan kesan pengasidan 5.9 kali ganda berbanding sedutan plastik biasa.

“Sedutan plastik boleh urai secara biologi turut mencatatkan kesan lebih tinggi iaitu 3.34 kali ganda bagi kesan karsinogenik dan 1.98 kali ganda bagi pengasidan.

“Bagi sedutan plastik konvensional merekodkan kesan paling rendah dalam 10 daripada 16 kategori yang dinilai termasuk perubahan iklim, pencemaran zarah halus dan kadar toksik terhadap manusia,” lapor media tersebut.

Bagaimanapun, angka berkenaan perlu difahami dalam konteks yang tepat termasuk ukuran kesan karsinogenik yang dinyatakan dalam kajian merujuk kepada beban toksik keseluruhan sepanjang kitaran hayat produk.

Penyedut kertas mencatatkan kesan karsinogenik lebih tinggi berbanding penyedut plastik.

Ia bukan bermaksud pengguna mempunyai risiko 6.33 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser apabila menggunakan sedutan kertas.

Hal ini kerana, model kajian mengambil kira pelbagai peringkat pengurusan produk dan sisa, termasuk penghasilan, pengangkutan, pembakaran sisa serta pelupusan.

Situasi itu termasuk mengandaikan 73.6 peratus sisa dibakar, manakala 26.4 peratus lagi dihantar ke tapak pelupusan selaras dengan statistik pengurusan sisa di Korea Selatan.

Penemuan kajian itu turut mencabar satu lagi anggapan bahawa pertukaran bahan secara automatik dapat menyelesaikan masalah sisa.

Menurut kajian, semua jenis penyedut dinilai sukar dikitar semula tanpa mengira jenis bahan digunakan.

Saiznya yang kecil menyukarkan proses pengasingan di fasiliti pemprosesan, manakala penggunaan lapisan salutan dan perekat turut menambah cabaran terhadap proses kitar semula atau pemprosesan semula.

Dalam erti kata lain, menukar bahan daripada plastik kepada kertas atau alternatif lain tidak semestinya menyelesaikan isu asas berkaitan produk sekali pakai.

Di Korea Selatan, dasar melarang penggunaan sedutan plastik yang diperkenalkan pada November 2022 turut berdepan tentangan orang ramai.

Pelaksanaan penguatkuasaan dasar itu kemudian ditangguhkan tanpa had bermula November tahun berikutnya.

Wakil rakyat, Kim Wi-sang menyifatkan dasar terdahulu sebagai satu bentuk kegagalan pencitraan hijau kerana terlalu menumpukan kepada perubahan bahan tanpa menangani jumlah penggunaan secara keseluruhan.

Beliau menggesa supaya pendekatan terhadap produk pakai buang dinilai semula dengan memberi keutamaan kepada pengurangan penggunaan, bukannya sekadar menggantikan satu bahan dengan bahan lain.

Penyelidik turut mencadangkan langkah yang lebih mudah iaitu restoran dan premis makanan tidak perlu menyediakan sedutan secara automatik kepada semua pelanggan dan hanya diberi apabila diminta.

Penemuan kajian ini memberikan gambaran penting kepada negara yang sedang melaksanakan dasar pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

Ini memandangkan sesuatu produk tidak semestinya lebih mesra alam hanya kerana diperbuat daripada bahan yang dianggap lebih ‘hijau’.

Sebaliknya, kesan sebenar perlu dinilai berdasarkan keseluruhan kitaran hayat, termasuk sumber bahan mentah, proses pengeluaran, pengangkutan, penggunaan dan pengurusan sisa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN