KUALA LANGAT – Golongan peniaga yang gagal mengenakan caj beg plastik 20 sen bakal berdepan tindakan lebih tegas termasuk kemungkinan permit atau lesen perniagaan terjejas melalui undang-undang kecil (UUK) baharu di Selangor.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, pelan tindakan plastik sekali guna itu kini berada di peringkat akhir penelitian bersama Penasihat Undang-undang (PUU) negeri sebelum dimuktamadkan.
Menurut beliau, UUK tersebut bakal menjadikan Selangor negeri pertama melaksanakan peraturan khusus yang mewajibkan premis perniagaan mengenakan caj beg plastik.
“Sekiranya mana-mana premis contohnya pasar raya dan kedai yang menggunakan plastik tidak mengenakan caj tersebut, mereka perlu mematuhinya atau berdepan tindakan susulan.
“Penguatkuasaan akan lebih tegas dan mungkin berkait permit atau lesen,” katanya selepas merasmikan Projek Solar Panel Tempat Letak Kereta di Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd., Zon Perindustrian Bebas Telok Panglima Garang, di sini.
Jamaliah berkata, kerajaan negeri belum memutuskan sebarang kenaikan caj 20 sen kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan semua premis mematuhi ketetapan sedia ada.
Katanya, pelaksanaan caj tersebut setakat ini masih banyak bergantung kepada kesediaan sukarela premis perniagaan, termasuk rangkaian peruncit.
Justeru, UUK baharu itu diharap dapat memastikan kutipan caj berkenaan bukan sekadar garis panduan, sebaliknya menjadi kewajipan yang boleh dikuatkuasakan.
“Esok, saya akan bertemu dengan PUU untuk melihat sama ada masih terdapat isu atau perkara yang perlu diperhalusi.
“Kita perlukan sedikit masa kerana Selangor akan menjadi negeri pertama melaksanakan UUK ini sekiranya diluluskan dan tiada negeri lain untuk dijadikan rujukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















