PETALING JAYA – Seramai 5,632 daripada keseluruhan 5,840 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) lantikan Contract of Service (CoS) 2023 sudah menerima surat tawaran pelantikan tetap daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) setakat semalam.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 29 pegawai masih dalam proses tindakan SPP, manakala 179 lagi belum memenuhi syarat ditetapkan untuk pelantikan berkenaan.
Menurutnya, antara syarat yang belum dipenuhi termasuk kelayakan ikhtisas serta kelayakan CEFR C1 bagi PPP opsyen Bahasa Inggeris.
“KPM menjelaskan kontrak perkhidmatan semua 5,840 PPP CoS lantikan 2023 yang masih berkhidmat sudah dilanjutkan secara menyeluruh bagi memastikan mereka tidak terjejas selepas tamat tempoh kontrak asal.
“Ini membolehkan semua pegawai terbabit terus berkhidmat dan menerima emolumen seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kementerian memaklumkan Arahan Penempatan (AP) bagi pegawai yang dilantik tetap masih belum dikeluarkan kepada mana-mana individu setakat ini.
Katanya, AP berkenaan dijadual dikeluarkan secara berperingkat pada Disember 2026 tanpa sebarang keutamaan berdasarkan negeri atau daerah.
“KPM menjelaskan perbezaan surat yang diterima guru ketika ini hanya berkaitan proses pelanjutan kontrak yang dilaksanakan secara berfasa.
“Surat berkaitan pelanjutan kontrak berkenaan juga tidak membatalkan tawaran pelantikan tetap yang telah diterima,” katanya.
Sehubungan itu, semua pegawai terbabit diminta meneruskan tugas seperti biasa sementara menunggu pengeluaran AP masing-masing.
KPM turut menghargai komitmen serta kesabaran guru CoS lantikan 2023 dan memberi jaminan urusan penempatan tetap akan diselesaikan mengikut jadual ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
















