Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menetapkan 17 Disember depan bagi pendengaran permohonan injunksi berhubung pertikaian jawatan Undang Luak Jelebu.

Permohonan injunksi Undang Luak Jelebu didengar 17 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menetapkan 17 Disember depan bagi pendengaran permohonan injunksi berhubung pertikaian jawatan Undang Luak Jelebu.

Penetapan tarikh itu dibuat oleh Hakim, Roz Mawar Rozain selepas permohonan berkenaan didaftarkan dan dibawa ke mahkamah untuk prosiding pada pukul 4.35 petang tadi.

Permohonan tersebut difailkan oleh Datuk Azrin Khairi terhadap Maarof Mat Rashad selaku responden.

Dalam permohonan itu, Azrin memohon deklarasi mahkamah bahawa beliau merupakan satu-satunya Undang Luak Jelebu Ke-17 yang sah dan berhak menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa Maarof telah diberhentikan daripada jawatan dan gelaran Undang Luak Jelebu Ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023, sekali gus tidak lagi berhak menggunakan gelaran berkenaan atau menjalankan fungsi jawatan tersebut.

Permohonan itu turut bersandarkan kepada penzahiran oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Oktober lalu, perakuan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 4 November serta pewartaan pada 11 November lalu.

Selain itu, pemohon memohon injunksi kekal bagi menghalang responden daripada menggunakan gelaran Undang Luak Jelebu, mengadakan majlis berkaitan adat atas kapasiti tersebut serta membuat sebarang pelantikan atau pengesahan pemegang pesaka dan jawatan adat Luak Jelebu.

Pemohon turut memohon supaya responden diarahkan menurunkan dan memadam segala poster, hantaran serta bahan yang menghebahkan dirinya sebagai Undang Luak Jelebu dalam tempoh tujuh hari selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Dalam perkembangan sama, pemohon memfailkan permohonan injunksi interim secara sebelah pihak (ex-parte) bagi menghalang responden daripada menjalankan fungsi sebagai Undang Luak Jelebu sementara menunggu pelupusan kes.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan permohonan tersebut diteruskan secara inter-parte dengan notis berkenaan perlu diserahkan kepada responden.

Mahkamah turut menolak permohonan perintah ad-interim selepas mendapati tiada alasan kukuh untuk membenarkan perintah berkenaan pada peringkat ini.

Kedua-dua permohonan ditetapkan untuk pendengaran pada 17 Disember depan menerusi sidang video Zoom. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN