PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian antarabangsa perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat.
Anwar berkata, perkara itu antara disentuh sewaktu panggilan telefon bersama rakan sejawatnya Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, malam tadi.
Dalam panggilan telefon tersebut, Anwar dan Shehbaz turut membincangkan pelbagai perkembangan serantau serta usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.
“Kami menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.
“Saya menyatakan penghargaan Malaysia akan peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Shehbaz serta rakyat Pakistan.
Beliau berkata, semangat pengorbanan dan persaudaraan diharap dapat terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas bagi menghentikan keganasan serta kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














