KOTA BHARU – Sebuah rumah di Kampung Bunohan, Tumpat, dipercayai dijadikan pusat pengumpulan beras yang disyaki diseludup dari Thailand sebelum dipasarkan sekitar Kota Bharu sejak tahun lepas.
Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu rumah berkenaan dalam Op Taring Wawasan Kelantan semalam, sebelum merampas 1.9 tan beras pelbagai jenama bernilai RM8,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di rumah itu menemukan lapan jenis beras yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram Pohon Tar, Tumpat menggunakan kereta.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun yang merupakan penghuni rumah berkenaan turut ditahan dalam operasi itu.
“Hasil siasatan lelaki itu memaklumkan dia terlibat dalam aktiviti membeli beras seludup sejak 2025 dan menjual serta menerima tempahan untuk dipasarkan sekitar Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rampasan berkenaan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994. – BERNAMA
















