KUALA LUMPUR – Kerugian akibat ancaman keselamatan siber mencecah RM79.16 juta dalam tempoh 22 hari dengan kes kehilangan aset mata wang kripto dan wang dalam akaun bank antara yang dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak 16 laporan polis diterima sejak 10 hingga 31 Oktober lalu termasuk 11 kes melibatkan mata wang kripto dengan kerugian RM42.82 juta akibat kompromi keselamatan perkakasan dan kehilangan aset digital berkenaan.
Beliau berkata, dua kes lagi melibatkan wang berkurangan dalam akaun bank, masing-masing kerugian RM14.52 juta dan RM21.80 juta, dengan satu daripadanya melibatkan sebuah syarikat.
“Turut dilaporkan kes ancaman siber melibatkan penggodaman paparan skrin LED yang memaparkan kandungan tidak wajar dan lucah di Kluang (Johor) dan Bandar Sunway (Selangor),” katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Rusdi berkata, statistik kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 menunjukkan peningkatan kepada 1,297 kes dari Januari hingga Oktober lalu berbanding 1,174 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, jumlah kerugian mencatatkan penurunan kepada RM125.61 juta berbanding RM239.20 juta bagi tempoh sama, katanya.
“Kita minta pihak yang mungkin mengalami serangan atau cubaan (godaman) supaya tampil membuat laporan polis. Jangan berdiam diri walaupun masih belum ada kerugian.
“(Langkah) ini membolehkan pihak polis memantau dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA








