KUALA LUMPUR – “Apabila berlaku empat, lima kali banjir itu membebankan. Walaupun air tidak naik tinggi, tapi jika sampai lima kali setahun, itu memang membebankan dan saya tidak boleh terima.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bencana banjir yang melanda Selangor baru-baru ini.
Justeru beliau mengarahkan kerajaan Selangor, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan supaya menyegerakan tindakan menangani masalah banjir termasuk meningkatkan kekerapan pembersihan parit dan sungai di negeri itu.
Anwar berkata, melalui Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor semalam, beliau dimaklumkan kerajaan negeri menyediakan dana tambahan bagi kerja pembersihan dan Majlis Perbandaran serta Majlis Daerah diminta melaksanakannya segera.
“Proses pembersihan parit dan sungai di Kuala Lumpur bukan dua kali setahun, tapi enam kali setahun, jadi ia dapat mengurangkan (banjir).
“Jadi bila kerajaan negeri tambah (dana), saya kata Kerajaan Pusat pun akan menyegerakan dan saya beritahu kepada kerajaan Selangor, JPS dan semua… mulai hari ini, jangan tangguh,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields di sini, hari ini.
Beliau berkata, bantuan kepada mangsa banjir turut ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM2,500, selain RM500 daripada kerajaan negeri.
“Mulai hari ini, kita ambil tindakan sedaya upaya. Jika hujan terlalu banyak dan paras air naik, itu mungkin kurang dapat dikawal. Namun setiap langkah tambahan yang kita ambil akan mengurangkan beban rakyat,” katanya.








