Gambar hiasan.

Permohonan cucu pengasas Genting singkir pentadbir harta pusaka ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan anak lelaki mendiang waris perempuan Genting, Lim Siew Kim untuk menyingkirkan dua pentadbir sementara yang menguruskan harta pusaka bernilai RM1.6 bilion.

Hakim Datuk Mahazan Mat Taib menolak permohonan Marcus Chan Jau Chwen terhadap peguam Datuk S. Satharuban dan Khoo Siew Kiat, serta memerintahkan beliau membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua pentadbir itu.

Mahkamah turut membatalkan injunksi sementara yang menghalang mereka daripada bertindak sebagai pentadbir harta pusaka sekali gus membenarkan mereka menyambung semula tugas masing-masing di bawah pengawasan mahkamah.

Semasa prosiding, hakim berkata, Marcus gagal membuktikan wujudnya salah laku, pelanggaran tugas yang berterusan, konflik kepentingan yang mewajarkan penyingkiran, atau keadaan lain yang cukup serius sehingga menjustifikasikan penyingkiran mereka.

Menyentuh mengenai dakwaan campur tangan dalam syarikat yang dikaitkan dengan harta pusaka tersebut, Mahazan berkata, pentadbir harta pusaka tidak berhak mengklasifikasikan liabiliti syarikat-syarikat berkenaan sebagai hutang harta pusaka, semata-mata atas dasar bahawa Siew Kim memegang saham dalam entiti-entiti tersebut.

Beliau berkata, pentadbir harta pusaka tetap bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan harta pusaka, yang mungkin merangkumi usaha mendapatkan maklumat berkaitan serta mengambil tindakan yang sah di sisi undang-undang bagi melindungi nilai pegangan saham berkenaan.

Bagaimanapun, hakim memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan wujudnya campur tangan yang menyalahi undang-undang dalam urusan syarikat atau penyalahgunaan dana harta pusaka yang mewajarkan penyingkiran pentadbir-pentadbir itu.

Beliau menjelaskan keputusan itu tidak menyentuh kesahihan wasiat Siew Kim mahupun menentukan hak penerima-penerima harta pusaka.

Siew Kim, yang meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 ketika usia 73 tahun, meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki dan harta pusaka beliau kini diuruskan oleh pentadbir sementara di tengah-tengah pertikaian keluarga yang masih berlanjutan berhubung kesahihan wasiat beliau. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN