Anwar beramah mesra dengan pengunjung restoran selepas menunaikan solat jumaat di Surau Madrasathul Gouthyyah, Brickfields, Kuala Lumpur.

Isu Nvidia-Megaspeed: Tiada petunjuk cip AI dieksport dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang petunjuk cip kecerdasan buatan (AI) yang dikaitkan dengan isu Nvidia-Megaspeed dieksport dari Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada sebarang petunjuk tentang perkara itu (setakat ini),” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, di Brickfields, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberikan laporan mengenai perkara itu pagi ini.

“Kami akan bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat,” katanya.

Mengenai sama ada Malaysia menerima permintaan rasmi daripada Singapura atau Amerika Syarikat (AS) berhubung siasatan terhadap isu Nvidia-Megaspeed, Anwar berkata, setakat ini negara belum menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua negara tersebut.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan bekerjasama. Kita ialah negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan. Kita mahu memastikan peraturan dipatuhi,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn. Bhd..

Menurut MITI, Speedmatrix adalah penyewa pusat data di Malaysia dan membawa masuk pelayan dan cip AI milik sendiri ke negara ini untuk tujuan operasinya.

Kementerian itu memaklumkan sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menentukan sama ada mana-mana cip tersebut telah dieksport semula ke negara lain atau mematuhi undang-undang Malaysia.

Menurut MITI, kemasukan cip AI ke Malaysia pada masa ini tidak memerlukan sebarang permit atau lesen.

Bagaimanapun, mulai Julai 2025, mana-mana pihak yang ingin mengeksport, mengeksport semula, memindah cip AI berprestasi tinggi AS dari atau melalui Malaysia, perlu terlebih dahulu mendapatkan permit daripada MITI di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

MITI memaklumkan Malaysia akan menjalankan pemeriksaannya sendiri selaras dengan undang-undang negara dan berdasarkan bukti yang ada. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN