Gambar hiasan.

Pemuda tular pijak al-Quran dijel 12 bulan, denda RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang lelaki yang tular di Threads memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, dihukum penjara 12 bulan dan didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh S.Vikneswaran, 21, yang juga bekas pelajar sebuah universiti itu menukar kepada pengakuan bersalah atas dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Sebelum ini pada 3 Mac lalu tertuduh telah didakwa namun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh jatuh hukum manakala jika jumlah denda itu gagal dibayar tertuduh berdepan dengan pemenjaraan 12 bulan lagi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencemarkan objek suci penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 1.30 petang pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota, di sini yang didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik hantaran jelik melampau di media sosial dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan sementara bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia tertuduh didenda RM250,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Pahang Mohd. Sabri Othman dan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Mengikut fakta kes, kejadian itu dikesan selepas bapa tertuduh iaitu pengadu dalam kes dihubungi anak perempuannya pada 24 Februari lalu yang memaklumkan mengenai satu video tular di aplikasi Threads yang memaparkan perbuatan tertuduh.

Pengadu kemudian telah menghubungi tertuduh mengenai video tular tersebut dan tertuduh mengaku kepada pengadu yang video tular itu adalah dirinya (memijak al-Quran).

Siasatan mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada 22 Februari di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman di sini, akibat tidak berpuas hati selepas dikritik menggunakan bahasa kesat oleh pengguna media sosial lain.

​Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 25 Februari pukul 3.30 petang, manakala sebuah telefon bimbit jenis iPhone 15 milik tertuduh serta senaskhah Al-Quran dalam kes itu turut dirampas pihak polis bagi tujuan siasatan.

Hasil analisis di media sosial dan laporan syarikat telekomunikasi mengesahkan akaun serta nombor telefon yang digunakan adalah milik tertuduh dan keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN