Tangkap layar video tular kejadian belalai air di kawasan pantai Yan, Kedah semalam..

[VIDEO] Bukan puting beliung tapi belalai air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Satu kejadian belalai air dilaporkan berlaku di kawasan persisiran pantai di Yan, Kedah semalam.

Kejadian itu tular di media sosial serta turut dikongsikan seorang pengguna Threads Mr.dehyaz yang mendakwa ia adalah puting beliung, namun kemudian diperbetulkan oleh pengguna lain yang mengatakannya sebagai fenomena belalai air.

“Puting beliung di Yan, Kedah. Pertama kali depan mata, seram,” katanya pada hantaran video tersebut.

Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai selain ada yang berkongsi berpeluang melihat fenomena belalai air di depan mata.

“Watersprout kak atau nama Melayu dia belalai air atau sengkayan. Kat ‘oil rig’ atau laut dalam lepas, ribut biasa jadi,” komen pengguna Threads Danniel_haikal.

“Watersprout ni bukan puting beliung. Kalau puting beliung, kat situ air habis merecik-recik,” komen Mrazven.

“Ini kalau kat atas darat ni, bumbung rumah pun hilang,” kata Puancempaka_88.

Seperti yang pernah dikongsikan Jabatan Meteorologi sebelum ini, belalai air ialah fenomena puting beliung kecil di persisiran pantai dan berlaku di atas air.

Kebiasaannya kelihatan seperti awan corong dan kebanyakannya berlaku di kawasan Tropika dan Sub-Tropika serta berskala kecil dan dalam masa singkat.

Bagaimanapun, ia akan hilang apabila menghampiri permukaan darat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN