Di mata dunia, Sarah menjadi inspirasi dengan World Hijab Day di media sosial menulis isteri Abdul itu sebagai suri teladan hebat yang mewakili keyakinan, keimanan dan integriti.

Keyakinan Muslimah, ketenangan psikiatris Sarah Jukaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN seseorang wanita di sisi tokoh politik sering kali menarik perhatian, lebih-lebih lagi apabila pasangan mereka mencipta sejarah dalam arena kepimpinan sesebuah negara.

Begitulah kisah Dr. Sarah Jukaku, wanita yang kini turut menjadi perhatian media antarabangsa selepas suaminya, Abdulrahman Mohamed El-Sayed mencipta sejarah sebagai individu Muslim pertama yang dipilih menjadi anggota Senat Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Bukan sekadar isteri tokoh politik yang mencipta sejarah, Sarah sebenarnya mempunyai perjalanan hidup tersendiri sebagai seorang pakar psikiatri, wanita berpendidikan tinggi dan ibu yang membina keluarga berteraskan nilai keagamaan serta kekeluargaan.

Selama suaminya berkecimpung dalam arena politik sejak tahun 2015, wanita ini hanya selesa ‘bersembunyi di belakang tabir’ sehinggalah dia mula disorot apabila suaminya bertanding kerusi anggota Senat mewakili parti Demokrat dan Sarah turut dijemput berucap.

Menjadi tulang belakang perjalanan politik suaminya, Sarah memberikan sokongan moral, membantu menggerakkan kempen dan berdiri di sisi beliau ketika berhadapan dengan pengundi.

“Saya sentiasa tahu bahawa ada sesuatu yang istimewa tentang Abdul dan bagi saya serta anak-anak perempuan saya, dia tetap sama seperti dirinya bersama anda semua,” ucap Sarah kepada penyokong suaminya yang bertanding di negeri Michigan.

Di depan rakyat AS, sebuah negara yang sering dilabel skeptikal dengan Islam, wanita yang tampil sederhana itu kelihatan yakin dengan identiti Muslimahnya dan tenang mengatur bicara.

Ucapan Sarah menjadi peringatan bahawa keyakinan dan kekuatan sebenar adalah ketenangan, kemesraan dan ketulusan.

Biarpun tampil sederhana dan ringkas, Sarah dilihat yakin, tenang dan mesra semasa berucap di pentas akhir kempen suaminya yang bertanding pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal AS baru-baru ini.- AFP

Dia menunjukkan kepada dunia bagaimana seseorang itu masih boleh bersinar di dalam kegelapan dan kebencian.

Di mata dunia, Sarah menjadi inspirasi. World Hijab Day di media sosial menulis Sarah sebagai suri teladan hebat yang mewakili keyakinan, keimanan dan integriti.

“Di depan jutaan rakyat Amerika, Sarah berdiri dan bangga dengan identiti Islamnya. Dia kekal berhijab tidak sedikit pun berkompromi dengan iman dan kepercayaannya,” kongsinya.

Menyorot sejarah hidupnya, Sarah dilahirkan dan dibesarkan di Michigan dalam keluarga Muslim yang mempunyai susur galur keturunan dari Bhatkal, sebuah bandar pesisir pantai di Karnataka, India.

Menurut portal Indian Express, keluarga Jukaku berasal daripada komuniti Nawayath, sebuah kelompok masyarakat Muslim yang mempunyai sejarah panjang di kawasan pesisir Karnataka.

Komuniti berkenaan dipercayai mempunyai hubungan sejarah dengan pedagang dari Semenanjung Arab dan beberapa wilayah lain.

SARAH wanita kelahiran AS dan berdarah keturunan India telah menjadi pilihan hati Abdul untuk dijadikan isteri.- AFP

Walaupun dilahirkan dan membesar di AS, Sarah tidak terpisah daripada warisan keluarganya. Hubungan dengan saudara-mara di India serta kunjungan ke Bhatkal dan Bengaluru menjadi antara cara keluarganya mengekalkan hubungan dengan asal usul mereka.

Datuknya, Jukaku Shamsuddin, merupakan seorang tokoh masyarakat yang dikenali di Bhatkal. Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan dalam kerajaan negeri Mysore pada era 1950-an di bawah pentadbiran Ketua Menteri B.D. Jatti.

Sementara itu, bapa Sarah, Dr. Jukaku S. Tayeb merupakan seorang pakar nefrologi atau doktor yang mengkhususkan rawatan penyakit buah pinggang. Dia dilahirkan dan dibesarkan di Bhatkal sebelum melanjutkan pengajian perubatan di Bangalore Medical College pada 1976.

Selepas menimba pengalaman di Asia Barat, Tayeb berhijrah ke Michigan pada era 1980-an untuk membina kerjaya dalam bidang perubatan. Latar belakang bapa Sarah yang berjaya dalam bidang profesional turut menjadi sebahagian daripada persekitaran keluarga yang mementingkan pendidikan.

Sarah mempunyai pencapaian akademik yang membanggakan. Dia melanjutkan pengajian di University of Michigan dengan mengambil bidang Sosiologi dan Pengajian Timur Dekat (Near Eastern Studies).

Minatnya terhadap manusia, masyarakat dan tingkah laku individu kemudian membawanya mendalami bidang perubatan.

Sarah dan Abdul bersama dua cahaya mata perempuan mereka yang menjalani kehidupan privasi.

Sarah seterusnya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di University of Oxford, United Kingdom, sebelum memperoleh ijazah Doktor Perubatan (MD) daripada Vagelos College of Physicians and Surgeons, Columbia University pada 2015.

Selepas menamatkan pengajian perubatan, Sarah menjalani latihan dalam bidang psikiatri di Weill Cornell dan University of Michigan. Pengalaman tersebut membolehkannya mengembangkan kepakaran dalam memahami kesihatan mental serta menyediakan rawatan kepada individu yang memerlukan sokongan profesional.

Sarah kemudian pernah memegang jawatan kepimpinan dalam bidang psikiatri di University Health Services, University of Michigan, sebelum membuka klinik persendirian dikenali sebagai Mind Work Psychiatry di Ann Arbor, Michigan.

Di saat suaminya menumpukan kepada kerja-kerja politik, Sarah yang membina kerjaya dalam bidang kesihatan mental menumpukan bidang kepakaran dan sumbangannya tersendiri.

Bidang psikiatri juga menuntut kepekaan terhadap pengalaman hidup, emosi dan cabaran yang dihadapi seseorang. Kerjaya Sarah memberikan perspektif berbeza berbanding suaminya yang banyak terlibat dalam isu kesihatan awam dan dasar sosial.

Kisah pertemuan Sarah dengan Abdul bermula ketika mereka sama-sama menuntut di University of Michigan pada awal 2000-an. Kedua-duanya dilaporkan aktif dalam persatuan pelajar Islam, Muslim Students’ Association di universiti berkenaan.

Abdul merupakan anak seorang profesor kejuruteraan mekanikal. Bapa Abdul, Mohamed El-Sayed dilaporkan turut berperanan sambilan sebagai imam masjid.

Bapa Abdul adalah seorang imigran dari Mesir yang berhijrah ke AS untuk mengikuti pengajian di Wayne State University, Detroit dan kemudian membina keluarga dan kerjaya di AS.

Persamaan latar belakang serta nilai kehidupan menjadi antara faktor yang mendekatkan mereka sehingga hubungan persahabatan bertukar menjadi percintaan.

SARAH selesa sekadar berada di belakang suaminya tanpa merebut sorotan media.- AFP

Menariknya, Abdul melamar Sarah ketika wanita itu masih berada pada tahun pertama pengajian di universiti. Mereka kemudian mendirikan rumah tangga pada Mei 2006 ketika Sarah berusia 19 tahun.

Dalam temu bual bersama akhbar pelajar The Michigan Daily pada Oktober 2006, Sarah berkongsi bahawa ketika Abdul melamarnya, dia masih muda dan mempunyai banyak perkara untuk dipelajari dalam kehidupan.

“Saya masih teringat kata-kata suami ketika itu yang menyebut bahawa kami berdua masih dalam proses membesar dan kini berpeluang melalui perjalanan tersebut bersama-sama.

“Ungkapan berkenaan menggambarkan bagaimana Abdul melihat perkahwinan bukan sebagai pengakhiran perjalanan, sebaliknya permulaan untuk membina kehidupan dan berkembang bersama,” kongsinya.

Hasil perkahwinan hampir dua dekad itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Emmalee dan Serene.

Walaupun suaminya semakin dikenali dalam arena politik, Sarah dan anak-anak mereka lebih selesa menjalani kehidupan peribadi jauh daripada perhatian umum. Walaupun begitu, Sarah memainkan peranan penting dalam perjalanan Abdul menuju Senat AS.

Bagi pilihan raya 2026, dia memberikan sokongan sepanjang kempen pilihan raya termasuk tampil di pentas perhimpunan terakhir suaminya di Detroit pada 2 November lalu, sehari sebelum pengundian berlangsung.

Kemunculan itu sebenarnya menarik perhatian kerana Sarah sebelum ini tidak begitu kerap berada di hadapan khalayak dalam acara politik suaminya.

Sarah turut menyampaikan satu kenyataan yang mencuit hati apabila berkata tiada syarikat besar, bilionair atau pihak berkepentingan yang boleh menentukan apa yang perlu dilakukan atau diperkatakan oleh suaminya.

Namun, Sarah berseloroh bahawa mungkin dirinya merupakan pengecualian kepada peraturan tersebut.

Kenyataan itu disambut dengan gelak tawa penyokong yang hadir. Dalam perhimpunan sama, Sarah turut menyatakan bahawa warga Michigan berhak mendapat seorang pemimpin yang bersedia memperjuangkan kepentingan mereka.

Kemenangan Abdul dalam pilihan raya Senat Michigan pada 3 November lalu menjadikan dia individu Muslim pertama yang dipilih menjadi senator AS. Beliau dijadualkan mengangkat sumpah pada 3 Januari 2027.

Pencapaian itu turut membawa perhatian kepada latar belakang keluarga Sarah yang berdarah keturunan India, manakala Abdul berdarah Arab dari Mesir.

Dalam beberapa temu bual, Abdul pernah berseloroh mengenai pengaruh keluarga isterinya terhadap dirinya selepas hampir 20 tahun berkahwin dengan wanita berketurunan India Selatan.

Dia malah menyatakan secara berseloroh bahawa dirinya mungkin lebih India berbanding Arab selepas begitu lama menjadi sebahagian keluarga tersebut.

Hubungan dua budaya itu menjadi sebahagian daripada identiti keluarga mereka, yang menggabungkan warisan Mesir-Amerika dengan keturunan Nawayath dari Karnataka di sebelah Sarah.

Bagi Sarah, perjalanan ke hadapan pastinya membawa perubahan apabila suaminya secara rasmi memulakan tugas sebagai senator. Di sebalik sejarah yang bakal tercipta di Washington, Sarah kekal sebagai seorang doktor, isteri dan ibu yang mempunyai perjalanan hidupnya sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN