KAHERAH – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, berkongsi detik penuh emosi selepas meluangkan masa menyantuni kanak-kanak Palestin yang dipindahkan dari Gaza ke Mesir di bawah bimbingan pertubuhan kemanusiaan, INARA (International Network for Aid, Relief and Assistance).
Menerusi satu hantaran menyentuh hati di Instagram yang meraih lebih 945,000 tanda suka hanya dalam tempoh empat jam, pelumba kelahiran Britain itu mengakui hatinya luluh melihat kecederaan parah dan trauma yang ditanggung oleh kanak-kanak tidak berdosa tersebut.
Kata Hamilton, sebahagian daripada mereka mengalami kesan tembakan serta melecur teruk akibat serangan dan kini berdepan proses pemulihan yang sukar.
Namun, di sebalik penderitaan itu, beliau amat kagum melihat ketabahan serta kegembiraan yang masih terpancar apabila mereka bersama rakan-rakan.
“Apa yang benar-benar menyentuh hati saya adalah betapa kentalnya semangat mereka dan betapa banyak kegembiraan yang mereka temui sesama sendiri,” tulisnya di Instagram.
Tambah Hamilton, beliau turut sebak apabila mendengar impian kanak-kanak tersebut yang rata-ratanya bercita-cita mahu menjadi guru dan doktor bagi membantu orang lain, sama seperti bantuan yang mereka terima hari ini.
Sepanjang lawatan tersebut, Hamilton berkesempatan melawat mereka di sekolah, hospital, klinik kesihatan mental, serta berkunjung ke kediaman keluarga mangsa untuk mendengar sendiri kisah perit mereka yang terpaksa berpisah dengan ibu bapa dan adik-beradik.
Dalam pada itu, beliau
turut mengingatkan masyarakat dunia agar tidak melupakan nasib kanak-kanak yang masih terperangkap di Gaza dalam keadaan serba daif.
Memetik laporan terkini, beliau menyatakan lebih 21,500 kanak-kanak telah terkorban manakala 45,000 lagi cedera sejak Oktober 2023.
“Kanak-kanak ini tidak ada bezanya dengan anak-anak anda. Nyawa mereka sama berharganya. Mereka berhak berasa selamat di dalam bilik darjah bersama rakan-rakan, berada di samping keluarga dan membayangkan masa depan,”
tegasnya lagi.
Di akhir perkongsiannya, Hamilton merakamkan penghargaan kepada Dr. Hazem dan seluruh pasukan INARA atas dedikasi mereka menyediakan rawatan perubatan, sokongan kesihatan mental serta pendidikan buat mangsa.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus bersuara dan menyokong pertubuhan kemanusiaan seperti INARA demi masa depan kanak-kanak Palestin. – KOSMO! ONLINE
















