AIDA berjaya membangun dan mengkomersialkan UnaCoffee

Dr. Aida rapatkan jurang universiti dan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA di dewan kuliah ke makmal penyelidikan, seterusnya ke industri dan komuniti, Prof. Madya Ts. Dr. Aida Firdaus MN Azmi membuktikan bahawa ilmu mempunyai nilai lebih besar apabila diterjemahkan dalam aspek kehidupan.

Menurut usahawan dan Pensyarah Sains dan Teknologi Makanan di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, peranan seorang ilmuan bukan sekadar menyampaikan ilmu di dewan kuliah atau menghasilkan penerbitan akademik.

“Lebih daripada itu, saya percaya kepakaran universiti harus dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran sebenar yang dihadapi oleh industri dan masyarakat.

“Sebagai pensyarah dalam teknologi permakanan, saya sentiasa proaktif merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri melalui penyelidikan, pembangunan produk inovatif, pengkomersialan teknologi serta pemindahan ilmu kepada komuniti,” katanya ketika ditemui di UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Aida berkata, produk yang menjadi bahan penyelidikan boleh dikomersialkan jika semua pihak komited untuk menjayakannya.

Katanya, kejayaan membangun dan mengkomersialkan UnaCoffee merupakan satu pencapaian yang membanggakannya.

UnaCoffee merupakan produk kopi yang diformulasikan dengan kandungan protein tinggi, kafein rendah dan kaya vitamin B kompleks.

“Kopi ini turut memperoleh pengiktirafan MySTI, sekali gus mencerminkan potensi hasil penyelidikan tempatan untuk diterjemahkan kepada produk komersial.

“Pengalaman membangunkan UnaCoffee memberikan saya perspektif berbeza dalam memahami cabaran sebenar industri.

“Daripada pembangunan formulasi, penilaian kualiti dan penerimaan pengguna sehinggalah kepada penjenamaan serta pemasaran.

“Melalui pengalaman membangunkan produk sendiri, saya lebih memahami bahawa inovasi bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang baharu. Sebaliknya, ia perlu

praktikal, berkualiti dan mempunyai nilai kepada pengguna,” katanya.

Mengulas mengenai misi merapatkan jurang penyelidikan dan keperluan industri, beliau berkata, pihaknya menerajui Industrial Research Lab (IRL) di bawah program Micro Industrial Hub (MIH) bagi syarikat Nusanutra Sdn. Bhd. yang memfokuskan pembangunan produk makanan berpotensi menyokong kesihatan metabolik, khususnya berkaitan pengurusan diabetes.

AIDA banyak bekerjasama dengan pihak industri dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Tambahnya, beliau juga menjadi perunding kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan bagi membantu meningkatkan kualiti produk nuget atau jejari berasaskan ayam serta ikan, khususnya dari aspek formulasi, tekstur dan konsistensi produk.

“Pada masa sama, saya bekerjasama dengan Ladang Konjak dalam pembangunan tepung konjac tempatan dan produk inovatif berasaskan konjac.

“Jadi, kami berpeluang meneroka potensi bahan mentah tempatan sebagai sumber produk makanan bernilai tambah.

“Kepakaran saya bersama pasukan penyelidik turut dimanfaatkan oleh Tenaga Nasional Berhad Research (TNBR) dalam pembangunan ‘blueprint’ pengkomersialan hasil tanaman di kawasan bawah pencawang elektrik melibatkan lima daerah di Selangor,” katanya.

Jelasnya, kerjasama tersebut berjaya menghasilkan 10 prototaip produk makanan inovatif, antaranya sos beetroot, gummy rendah kalori, bijirin sarapan dan aiskrim segera.

Tambahnya, kerjasama universiti-industri bukan sekadar perkongsian kepakaran, malah hubungan dua hala yang membolehkan penyelidikan berkembang berdasarkan keperluan sebenar pasaran.

“Industri mempunyai cabaran yang memerlukan penyelesaian, manakala universiti memiliki kepakaran untuk membantu. Peranan saya adalah menghubungkan kedua-duanya,” katanya.

Bercerita tentang pengiktirafan sebagai penyelidik dan usahawan, Aida berkata, usahanya dalam penyelidikan dan pengkomersialan membolehkan dia meraih Anugerah

Inovasi dan Pengkomersialan sempena Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2021.

Menariknya, beliau juga menerima Special Award selama tiga tahun berturut-turut di International Invention, Innovation and Technology Exhibition dari 2023 hingga 2025, selain pelbagai anugerah inovasi lain.

“Bagi saya, pengiktirafan tersebut lebih bermakna apabila hasil penyelidikan dapat memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.

“Sebagai contoh, komitmen saya terhadap pemindahan ilmu turut diterjemahkan melalui projek Roselle Valley, yang diterajui sejak 2022 bersama Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Shah Alam dan Universitas Warmadewa, Bali, Indonesia.

“Program tersebut menggabungkan pendidikan, inovasi makanan dan keusahawanan komuniti melalui pembangunan produk berasaskan rosel,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, penglibatannya dalam pembelajaran berasaskan khidmat komuniti turut mendapat pengiktirafan universiti.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut berkata, pengurusan masa, kerjasama pasukan dan sokongan padu daripada ibu bapa serta saudara memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjayanya.

“Saya percaya ilmu yang kita miliki lebih bermakna apabila dikongsi dan dimanfaatkan.

“Walaupun sumbangan itu kecil, namun jika ilmu itu mampu membantu seseorang meningkatkan kualiti produk, mengembangkan perniagaan atau memperbaiki kehidupan, ia tetap sesuatu yang bermakna,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN