JOHOR BAHRU – Tindakan seorang doktor menggaji pekerja warga Pakistan tanpa permit kerja sah mengundang padah apabila didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, N. Vigneswaran, 44, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, dia menjelaskan bayaran berkenaan.
Hukuman dijatuhkan Majistret Nur Zihan Abdul Rehman selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menggaji pekerja asing tanpa permit sah mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggaji seorang lelaki warga Pakistan, Adnan Khan, 34, tanpa permit kerja sah di sebuah poliklinik di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini kira-kira pukul 1.44 pagi pada 18 Oktober lalu.
Dalam prosiding berasingan, Adnan turut didenda RM10,000 oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada tarikh dan masa sama.
Bagaimanapun, Adnan gagal menjelaskan denda tersebut menyebabkan dia diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman, Izdhiyah Zahirah Mohd Ghazali dan Adilah Farzana Che Ad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, Vigneswaran dan Adnan ditahan sepasukan polis bersama anggota Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) ketika lelaki warga Pakistan itu sedang memberikan konsultasi kepada pesakit di poliklinik berkenaan.
Ketika serbuan dilakukan, Adnan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
Semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen kemudian mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai permit kerja yang sah untuk berada dan bekerja di negara ini. – KOSMO! ONLINE
















