SUNGAI PETANI – Empat lelaki Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berpakat menjalankan aktiviti penipuan dalam talian, bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Rajibul Islam, 32; Muhammad Tawheed, 26; Forkan Ali, 23, dan Mohamad Jahir Uddin, 20, dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tiada pengakuan direkodkan selepas semua tertuduh memaklumkan bahawa mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pakat jahat dengan bersetuju menjalankan aktiviti penipuan secara dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di tingkat satu, Jalan Pahlawan, Taman Lagenda Indah, di sini pukul pada 9.30 malam, 21 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd Noor manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 10 Januari tahun hadapan bagi membolehkan pelantikan jurubahasa dibuat.
Kesemua tertuduh bagaimanapun ditahan di Penjara Sungai Petani kerana tidak menjelaskan wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka.
Kosmo! pada 25 Oktober lalu melaporkan satu sindiket penipuan permainan dalam talian yang menyasarkan warga Bangladesh tumpas selepas pusat panggilannya di sebuah premis bekas hotel di Taman Lagenda Indah, di sini diserbu polis.
Seramai empat lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan dalam serbuan itu dengan setiap suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM2,700 sebulan untuk menjalankan kegiatan tersebut. – KOSMO! ONLINE
















