MUAR – Tindakan dua beranak yang menghalang dan mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika operasi menangkap anjing liar bulan lalu, membawa padah apabila mereka didenda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman iti terhadap tertuduh, Ainun Jongin, 52, yang juga warga Indonesia dan anak perempuannya, Loo Sock Yan, 24, selepas mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, mereka menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam, iaitu Pembantu Kesihatan Awam MPM berusia 31 tahun, ketika menjalankan tugas dalam operasi menangkap anjing liar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, di sini, kira-kira pukul 5.45 pagi, 29 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa mengetuai operasi bersepadu bagi menangkap anjing liar di sekitar Taman Bintang Emas, Bukit Pasir.
Sebaik tiba di lokasi, pengadu bersama anggota lain mendapati beberapa ekor anjing berkeliaran di kawasan berkenaan.
Ketika operasi dijalankan, pengadu berjaya menangkap dua ekor anjing sebelum didatangi dua beranak terbabit yang kemudian menghalang tugasnya serta cuba melepaskan haiwan berkenaan.
Pengadu memberi amaran supaya mereka tidak mengganggu tugas anggota penguat kuasa selain memaklumkan pemilik perlu menuntut anjing yang ditangkap di pejabat MPM.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh kemudian mengambil alat digunakan untuk menangkap anjing berkenaan sebelum seorang anggota penguat kuasa wanita cuba mengawal dan menenangkan keadaan, namun terjatuh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Tan Joes Nan.-KOSMO! ONLINE
















