fbpx
Keadaan banjir di sekitar pusat beli-belah Giant, Seksyen 13, Shah Alam susulan hujan lebat awal pagi tadi.

Banjir: MBSA nasihat penduduk sediakan beg kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan penduduk di seluruh kawasan pentadbirannya supaya sentiasa berwaspada dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut.

Dalam satu kenyataan hari ini, MBSA memaklumkan antara November ini hingga Januari 2027, negara dijangka menerima tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan.

Sehubungan dengan itu, MBSA menasihatkan penduduk menyediakan beg kecemasan berisi dokumen penting, ubat-ubatan, lampu suluh, makanan dan air minuman, manakala kenderaan pula dipindahkan ke kawasan lebih tinggi jika paras air menunjukkan tanda-tanda peningkatan.

“Penduduk juga dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti meredah air banjir atau melalui laluan yang dinaiki air kerana boleh membahayakan keselamatan diri.

“Selain itu, penduduk perlu memastikan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), sentiasa berada dalam keadaan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mengikuti arahan serta hebahan rasmi daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

“Kerjasama penduduk dalam mematuhi arahan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan tindakan keselamatan dan pemindahan dapat dilaksanakan dengan teratur sekiranya berlaku kecemasan.

“Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan, penduduk boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana MBSA (PANTAS) melalui talian 03-5510 5811,” menurut kenyataan itu.-Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN