PETALING JAYA – Belum sampai 24 jam banjir surut, penduduk Kampung Baru Subang, Shah Alam dekat sini sekali lagi berdepan situasi panik apabila air naik semula hari ini.
Perkembangan itu dikongsikan pengguna Threads, @lxmonadxjuicxx yang memaklumkan paras air mula meningkat di kawasan berkenaan.
Menerusi ruangan komen, seorang pengguna bertanyakan lokasi sebenar kejadian sebelum pemilik hantaran menjelaskan ia terletak berhadapan stesen minyak Petronas di laluan menghala ke Proton.
Pengguna itu turut memaklumkan hujan masih renyai dan laluan di hadapan Proton masih boleh dilalui meskipun air dilihat mula naik.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pengguna lain yang bertanyakan keadaan di laluan berkenaan, termasuk mereka yang mahu bergerak dari Hospital Sungai Buloh ke TUDM Subang.
Seorang pengguna lain turut bertanyakan sama ada paras air yang meningkat pada sebelah pagi sudah mulai surut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 789 penduduk daripada 325 keluarga terjejas ekoran kejadian banjir kilat susulan hujan lebat di Kampung Melayu Subang semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, hujan lebat bermula pukul 4 petang menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar kampung berkenaan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















