WASHINGTON – Kempen pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat kali ini diunjurkan yang paling mahal dalam sejarah, dengan kos mencecah hampir AS$12 bilion (RM48.9 bilion), demikian menurut badan pemerhati kewangan kempen, Open Secrets seperti laporan stesen penyiaran BBC semalam.
Kebanyakan perbelanjaan dibiayai oleh kumpulan politik luar, dikenali sebagai Jawatankuasa Tindakan Politik Super (Super Pacs) yang menyalurkan sejumlah besar wang untuk membiayai beberapa calon utama menjelang hari pilihan raya semalam.
Penderma individu terbesar kali ini ialah manusia terkaya dunia, Elon Musk yang membelanjakan hampir AS$500 juta (RM2 bilion) untuk menyokong calon-calon Parti Republikan, terutamanya di Texas yang menempatkan kebanyakan ibu pejabat syarikatnya.
Terdapat peraturan tentang berapa banyak wang boleh diberikan secara langsung kepada calon pilihan raya oleh orang perseorangan, parti politik dan jawatankuasa tindakan politik (Pacs).
Bagaimanapun, Super Pacs boleh menerima sumbangan tanpa had daripada individu, syarikat, kesatuan sekerja dan jawatankuasa politik lain. Wang itu juga tidak boleh diberikan secara terus kepada calon tetapi boleh membelanjakannya untuk menyokong mereka secara tidak langsung.
Menurut fail terkini Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) setakat pertengahan Oktober lalu, lebih AS$9.5 bilion (RM38.7 bilion) telah dibelanjakan dalam kitaran pilihan raya pertengahan penggal kali ini.
Pacs dan Super Pacs menyumbang lebih separuh daripadanya atau kira-kira AS$5.5 bilion (RM22.4 bilion) dengan perbelanjaan badan tersebut hampir berganda sejak beberapa bulan lalu.
Calon, parti dan kumpulan luar juga perlu melaporkan perbelanjaan mereka kepada FEC tetapi jumlah penuh tidak akan tersedia sehinggalah selepas pilihan raya pertengahan penggal selesai
Bagaimanapun, Open Secrets mengunjurkan jumlah perbelanjaan kempen kali ini mencecah AS$11.9 bilion (RM48.5 bilion) berdasarkan trend pada kitaran lepas.
40 penderma teratas menghulurkan AS$2.4 bilion (RM9.7 bilion) setakat 14 Oktober lalu, demikian menurut kumpulan pemikir pro liberal, Pusat Keadilan Brennan, yang merupakan rekod tertinggi dalam kitaran pemilihan pertengahan penggal.
Selain individu, organisasi juga boleh menyumbang kepada Pacs. Sebagai contoh, Geosor Corp dan Fund for Policy Reform yang mana kedua-duanya diasaskan oleh bilionair George Soros, telah memberikan gabungan AS$102 juta (RM415.7 juta) bagi menyokong calon-calon berfahaman liberal.
Selain Soros, bekas datuk bandar New York dan ahli perniagaan Michael Bloomberg menjadi penderma Demokrat terbesar, memberi lebih AS$60 juta (RM244.5 juta).
Beberapa jutawan termasuk Jeff Yass yang mengetuai salah satu firma perdagangan terbesar dunia, serta Richard dan Elizabeth Uihlein yang memiliki syarikat bekalan perniagaan telah memberikan lebih AS$100 juta (RM407.5 juta) kepada kempen Republikan, demikian menurut fail FEC.
Bagaimanapun, Musk muncul penderma terbesar berbanding mana-mana individu dengan menghulurkan hampir separuh bilion dolar setakat Oktober lalu. – AGENSI
















