BATU PAHAT – Empat nelayan ditahan selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan air kencing menerusi Operasi Bersepadu dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor di perairan Tanjung Emas, di sini malam tadi.
Pengarah APMM Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi yang bermula pukul 11 malam itu menggunakan dua bot dan disertai 20 pegawai AADK negeri serta daerah Muar.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap enam vesel nelayan tempatan sebelum empat individu dikesan positif dadah.
“Hasil ujian saringan awal mendapati tiga individu positif methamphetamine, manakala seorang lagi positif ganja. Kesemua mereka diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiga individu berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283]. – KOSMO! ONLINE
















