PUTRAJAYA – Seorang pemuda berusia 19 tahun diperintah oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk ditempatkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan anak saudaranya sehingga melahirkan anak dalam kejadian lima tahun lalu.
Semasa kejadian lima tahun lalu itu, pemuda tersebut berusia 14 tahun manakala mangsa berusia 12 tahun.
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan pendakwaan berhubung perintah yang dibuat dua mahkamah iaitu Majistret dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang hanya memerintahkan pemuda itu menjalani khidmat masyarakat.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy.
Terdahulu, ketika penghakiman yang dibacakan Hakim Hayatul, mahkamah berpendapat hukuman terdahulu (khidmat masyarakat) tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan responden, malah Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengekalkan perintah berkenaan.
“Mangsa berusia 12 tahun ketika kejadian, manakala responden yang juga bapa saudaranya berusia 14 tahun. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di rumah neneknya di Kuala Perlis, antara 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi, pada 14 Oktober 2021.
“Mangsa tidak menyedari kejadian itu dan apabila terjaga, mendapati terdapat kesan cecair berlendir pada bahagian kakinya. Ibu mangsa membawa mangsa ke poliklinik pada 12 Mei 2022 selepas mendapati perut mangsa kelihatan membesar. Pemeriksaan mengesahkan mangsa mengandung lapan bulan ketika itu selain laporan kimia mengesahkan responden ialah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa,” kata Hakim Hayatul.
Penghakiman lanjut turut menyatakan, keseriusan kesalahan itu tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan usia responden sebagai pesalah kanak-kanak, sebaliknya perlu mengambil kira usia mangsa, hubungan kekeluargaan serta akibat langsung perbuatan berkenaan.
Beliau berkata, pengakuan salah responden juga tidak boleh dijadikan faktor utama dalam menentukan perintah yang sesuai, sebaliknya fakta kes dan keseriusan kesalahan perlu turut dipertimbangkan.
“Justeru perintah khidmat masyarakat selama 120 jam tidak menggambarkan dengan secukupnya keseriusan kesalahan yang dilakukan. Mahkamah memerintahkan responden ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001, berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Mengikut pertuduhan, responden didakwa telah melakukan persetubuhan dengan (mangsa), berumur 12 tahun (waktu kejadian) yang mana perhubungan kamu dengannya ialah tidak dibenarkan di bawah undang-undang yang terpakai kepada kamu untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kuala Perlis antara pukul 12.30 malam hingga 5.30 pagi pada 14 Oktober lalu yang didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom, manakala responden diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail. – KOSMO! ONLINE
















