KOTA BHARU – Selepas hampir 48 jam hilang, mayat seorang buruh ditemukan dalam keadaan tertiarap di bawah pam menyedut pasir di Sungai Kelantan di Kampung Chekok, Serendah di sini hari ini.
Mayat, Muhammad Aqbar Che Abdullah, 35, dijumpai kira-kira pukul 8 pagi tadi oleh penduduk kampung yang membantu pihak bomba menjalankan operasi mencari mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Fakaruddin Brahim berkata, mayat lelaki itu ditemukan kira-kira 20 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri terjatuh dari bot oleh penduduk kampung.
Menurutnya, pihak bomba menerima maklumat berhubung penemuan mangsa oleh penduduk kampung yang membantu mencari sejak hari kejadian lagi
“Anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat seorang lelaki berada di kawasan tersebut. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Zamri Abdullah, 60, berkata, dia berada di atas sebuah bot bersama tiga rakannya sebelum dimaklumkan oleh penduduk kampung mengenai penemuan mayat mangsa.
“Allahyaryam Muhammad Aqbar merupakan rakan saya dan kami bersyukur apabila mayatnya ditemukan selepas lebih 48 jam hilang,
“Saya bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu pasukan bomba mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke jeti Tok Imam Yie,”katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, isteri kepada seorang buruh yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di pengkalan pasir di Kampung Chekok, Serendah di sini kelmarin mengesyaki suaminya mengalami pening akibat tekanan darah rendah ketika berada di atas bot berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Aqbar Che Abdullah, 35, yang bekerja sebagai pengorek pasir menggunakan jentera berat dikatakan mengalami kekejangan pada bahagian kaki sebelum terjatuh ke dalam sungai dari sebuah bot.
Isteri mangsa, Nor Asnida Mohd. Tarmizi, 32, berkata, suaminya mengalami demam pada malam sebelum kejadian selain mempunyai sejarah tekanan darah rendah. – KOSMO! ONLINE
















