KOTA TINGGI – Seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Pengerang di sini atas pertuduhan membunuh seorang peneroka di Felda Lok Heng Selatan, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iskandar Sentot, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh, Mohd Ariff Md Yusoff, 68, di Felda Lok Heng Selatan, Pengerang di sini pukul 7.20 petang, 26 Oktober lalu mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 7 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia, patalogi, DNA, rekod mental dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suspek
mengamuk dan menetak mati mangsa dipercayai dengan kapak di Felda tersebut sebelum diberkas sehari selepas itu. – KOSMO! ONLINE
















