JAKARTA – Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral (polis) Suyudi Ario Seto melucutkan jawatan Ketua Polis Daerah Sukoharjo, Andika Dharma Sena susulan serbuan dan penggeledahan kontroversi di sekolah pondok Hamalatul Quran (HQ), wilayah Jawa Tengah, lapor saluran berita RCTI.
Tindakan tatatertib tersebut dimuktamadkan menerusi Surat Telegram Ketua Polis Indonesia bertarikh 2 November 2026, berikutan bantahan meluas daripada pihak pengurusan serta pelajar institusi pengajian Islam tersebut selepas serbuan dilakukan pada 27 Oktober lalu di Sukoharjo dan Karanganyar.
Ketua Biro Penerangan Masyarakat Bahagian Perhubungan Awam Polis Republik Indonesia, Brigedier Jeneral (polis) Trunoyudo Wisnu Andiko mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan media di Ibu Pejabat Polis Indonesia, semalam.
Menurut Trunoyudo, Andika telah dipindahkan ke ibu pejabat polis, manakala tempat beliau digantikan oleh AKBP Indra Maulana Saputra yang sebelum ini menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah Boyolali.
Kekosongan di Boyolali pula diisi oleh AKBP Christopher Adhikara Lebang daripada Bahagian Trafik Polis Daerah Jawa Tengah.
Selain pelucutan jawatan tersebut, Bahagian Profesion dan Keselamatan Polis Indonesia turut menggantung tugas dan menyiasat tiga pegawai kanan lain yang terlibat secara langsung dalam operasi itu atas dakwaan pelanggaran kod etika.
“Tindakan tegas termasuk menggantung kerja dan siasatan dalaman ini diambil sebagai bentuk kebertanggungjawaban pihak berkuasa terhadap aduan rasmi yang dikemukakan oleh para pelajar dan pihak pentadbiran pondok berkenaan,” jelas Trunoyudo.
Kesemua pegawai terbabit kini berdepan tindakan disiplin lanjut sementara siasatan terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) serbuan diteruskan.
Dakwaan kekerasan polis itu berlaku terhadap pelajar perempuan dan guru semasa serbuan di ibu pejabat sekolah pondok berkenaan di Sukoharjo, Jawa Tengah..
Ia berikutan laporan bahawa 12 pelajar perempuan dan empat guru bahawa menjadi mangsa kekerasan
Pihak pengurusan sekolah tersebut mendakwa bahawa pelajar-pelajar perempuan itu diseret dari bilik mereka, ditengking, dan diancam dengan senapang semasa tidak memakai tudung.
Serbuan itu dikaitkan dengan kes pembakaran dan vandalisme melibatkan sebuah restoran, Mi dan Babi Tepi Sawah, di Parang. – AGENSI
















