KUALA LUMPUR – Seramai 417 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah di Jalan Sultan Ismail di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, serbuan dilakukan oleh pihaknya pada pukul 2.30 pagi hingga 10.30 pagi.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan susulan maklumat mengenai premis berkenaan yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah selain dikaitkan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Hasil serbuan, seramai 417 individu ditahan terdiri daripada 299 pelanggan lelaki dan 118 pelanggan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi tujuan dokumentasi serta menjalani ujian saringan air kencing. – KOSMO! ONLINE
















