WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) menyerang Pulau Qeshm milik Iran semalam, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ) ketika Presiden Donald Trump memberi isyarat mencapai kemajuan dalam rundingan dengan Tehran bagi mengakhiri perang yang berlanjutan selama lapan bulan.
Memetik sumber pegawai AS, WSJ menggambarkan serangan ke atas Qeshm iaitu pulau terbesar di Selat Hormuz, sebagai siri serangan terhad terkini yang dilancarkan secara rahsia oleh Washington ke atas Iran sejak beberapa minggu lalu.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan lima letupan berturut-turut kedengaran di Qeshm, dengan beberapa penduduk melaporkan melihat dua pesawat terbang di ruang udaranya.
Pentagon merujuk soalan mengenai serangan yang dilaporkan itu kepada Markas Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM), yang tidak memberi jawapan terhadap permintaan ulasan daripada AFP lewat semalam.
WSJ melaporkan bahawa beberapa pegawai menggambarkan siri serangan itu bersifat mempertahankan diri bagi menghalang Iran daripada bebas menyerang kapal-kapal dagang di Selat Hormuz.
WSJ menyebut, AS tidak mengumumkan serangannya secara terbuka agar tidak memberi isyarat mengenai sebarang niat untuk menyambung semula operasi ketenteraan utama ke atas Iran. – AFP
















