PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia menerusi kenyataan di Facebook, bagi Kedah kawasan terlibat ialah Langkawi, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang membabitkan Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.
“Di Perak, amaran berkenaan melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Muallim, Batang Padang, Larut Matang, Selama dan Kerian.
“Bagi Kelantan, kawasan terlibat ialah Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Jeli dan Tanah Merah, sementara di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya.
Amaran turut melibatkan Hulu Selangor, Gombak, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Di Negeri Sembilan, kawasan terlibat ialah Seremban, manakala di Johor membabitkan Kulai, Kluang dan Kota Tinggi.
Sementara itu, di Sarawak, amaran melibatkan Limbang, Marudi di Miri, Betong, Sarikei, Sibu serta Lubok Antu di Sri Aman.
Di Sabah, amaran melibatkan Kinabatangan, Sandakan, Paitan serta Labuk dan Sugut.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















