fbpx
Pusat sembelihan ayam di Puchong yang dipercayai membekalkan 'ayam bangkai' kepada pengguna. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Sijil halal wajib untuk pusat sembelihan ayam tempatan – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan digesa mewajibkan semua pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam serta haiwan ternakan tempatan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sekiranya membekalkan produk kepada pasaran halal negara.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh sistem jaminan halal negara susulan pendedahan kes penyembelihan ayam yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak menerusi operasi penguatkuasaan di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan perlu menilai semula pendekatan pensijilan halal yang ketika ini secara umumnya berasaskan permohonan sukarela bagi pengusaha tempatan.

Katanya, pendekatan berkenaan menimbulkan persoalan apabila produk daging dan ayam import yang memasuki pasaran halal negara diwajibkan mendapat pengesahan daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Jika kerajaan boleh menetapkan syarat halal yang ketat terhadap ayam dan daging yang dibawa masuk dari luar negara, mengapa pendekatan setara tidak diwajibkan terhadap semua ayam dan daging tempatan yang dibekalkan kepada pengguna Islam?

“Prinsip halal dan haram tidak berubah berdasarkan negara asal sesuatu produk. Ayam yang disembelih di luar negara dan Malaysia tetap tertakluk kepada hukum syarak yang sama,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna Islam tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab untuk memastikan sendiri status halal sesuatu produk memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan memeriksa proses penyembelihan di rumah sembelih.

Jelasnya, sistem pensijilan dan penguatkuasaan halal yang menyeluruh diperlukan bagi memastikan pematuhan hukum syarak dapat diperiksa, disahkan serta dipantau secara sistematik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ketiadaan sijil halal tidak semestinya bermaksud sesuatu ayam atau daging itu haram kerana status halal pada asasnya ditentukan berdasarkan pematuhan terhadap hukum syarak.

Sehubungan itu, cadangan mewajibkan pensijilan berkenaan bukan bertujuan membebankan pengusaha, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, sebaliknya melindungi pengguna serta menjaga integriti industri halal negara.

Beliau mencadangkan pelaksanaan dasar itu dibuat secara berperingkat dengan menyediakan tempoh peralihan munasabah, bantuan teknikal, latihan penyembelihan serta sokongan kewangan kepada pengusaha kecil.

Dalam masa sama, beliau menyarankan penyelarasan antara JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan bagi memperkemas pemantauan pusat penyembelihan.

Katanya, pensijilan halal juga perlu disertai audit pematuhan, pemeriksaan mengejut, rekod penyembelihan lengkap dan sistem kebolehkesanan sumber bekalan bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

“Jangan sampai produk dari luar negara diperiksa dan disahkan dengan ketat, sedangkan produk tempatan yang sampai setiap hari ke meja makan umat Islam tidak tertakluk kepada keperluan pensijilan yang setara.

“Halal bukan sekadar pilihan perniagaan, tetapi tuntutan agama dan hak pengguna Islam yang wajib dilindungi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN