Saya pernah terdengar dalam satu ceramah bahawa waktu maghrib sangat pendek masanya, bukannya sehingga masuk waktu isyak. Jadi, saya mohon penjelasan mengenai bilakah sebenarnya berakhir waktu maghrib?
Jawapan: Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada orang Islam mengikut waktu-waktunya yang telah ditetapkan, seperti yang difirmankan oleh Allah SWT: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya”. [Surah al-Nisa’, 103]
Sekiranya seseorang terlepas untuk melaksanakan solat pada waktu yang telah ditetapkan, maka dia hendaklah melakukannya di luar waktu tersebut sebagai ganti (qada).
Oleh kerana persoalan yang diajukan ini memfokuskan kepada waktu solat maghrib, maka penulisan ini hanya membincangkan mengenai waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi menunaikan solat maghrib sahaja.
Para fuqaha bersepakat bahawa waktu permulaan bagi solat maghrib adalah apabila terbenamnya matahari.
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Buraydah al-Aslami bahawa Rasulullah SAW pernah mengajarkan kepada seorang sahabat yang bertanyakan mengenai waktu solat seperti berikut: “Kemudian
Baginda menyuruhnya, lalu Baginda menunaikan solat maghrib pada ketika matahari terbenam.” [Sahih Muslim]
Terdapat perbezaan dalam kalangan fuqaha untuk menentukan pengakhiran kepada waktu maghrib, sama ada waktu maghrib hanya mempunyai masa yang singkat seperti yang ditanyakan dalam soalan ini, atau maghrib mempunyai waktu yang berpanjangan sehingga hilangnya mega merah, iaitu dengan masuknya waktu isyak.
Pandangan yang terpilih dalam mazhab Syafi’i adalah waktu maghrib bermula dengan terbenamnya matahari dan berakhirnya setelah hilang mega merah di langit, iaitu dengan masuknya waktu solat isyak.
Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Waktu solat maghrib adalah pada ketika matahari terbenam selagi mana belum hilang mega merah.” [Sahih Muslim]
Permasalahan mengenai waktu permulaan dan waktu pengakhiran bagi solat maghrib ini dijelaskan oleh al-Khaīb al-Shirbīni seperti berikut: “Maghrib bermula waktunya (dengan terbenamnya matahari) berdasarkan kepada hadis Jibril. Dinamakan demikian kerana solat ini dilakukan selepas terbenam matahari… (dan berkekalan) waktu maghrib sehingga hilangnya mega merah mengikut qawl qadim.”
Walaupun pandangan Imam al-Syafi’i dalam qawl jadid menyatakan bahawa waktu maghrib hanyalah sekadar tempoh berwuduk, menutup aurat, azan, iqamah serta kadar pelaksanaan lima rakaat, namun para fuqaha mazhab Syafi’i memilih untuk berpegang dengan pandangan qawl qadim dalam permasalahan ini.
Justeru, seseorang yang ingin menunaikan solat maghrib boleh melaksanakannya bermula dengan terbenamnya matahari sehingga hilangnya keseluruhan mega merah yang berlaku apabila matahari berada jauh di bawah ufuk. Dengan hilangnya mega merah tersebut, maka tamatlah waktu solat maghrib dan bermulalah waktu solat isyak.
Walaupun solat maghrib berpanjangan sehingga masuk waktu isyak, namun perkara yang paling baik adalah dengan menyegerakan solat maghrib di awal waktunya, tanpa melengah-lengahkan sehingga ke hujung waktu melainkan terdapat urusan mustahak yang tidak dapat dielakkan sahaja.
















